KUANTAN: Pahang mengharapkan badi tanpa kemenangan pada peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur berakhir apabila melayan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir pertama piala itu, Ahad ini.
Berdasarkan rekod perlawanan di laman sendiri, skuad Tok Gajah sekadar seri 1-1 dengan Sabah dan PKNP FC 0-0, malah turut tewas 1-3 kepada Selangor.
Namun, sebaik layak ke suku akhir, anak buah Dollah Salleh berazam menamatkan badi sekali gus mencatat kemenangan selesa sebagai bekalan bagi suku akhir kedua di Larkin, 29 September ini.
Justeru, pemain tengah Nor Azam Azih yang tidak sabar bertemu skuad Harimau Selatan mengharapkan persefahaman dan komitmen tinggi dapat diterjemahkan rakan sepasukan pada aksi timbal balik itu.
“Sudah pasti kami mahu menang ke atas JDT kerana ia peluang terbaik untuk menewaskan lawan.
“Seharusnya kami perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri terutama sokongan padu daripada peminat Tok Gajah yang mahu Pahang kembali menjulang Piala Malaysia musim ini.
“Kami tidak boleh memberi ruang kepada lawan untuk membolosi gawang kerana mereka sudah pasti lebih kental di Larkin biarpun rekod pertemuan pada suku akhir Piala FA musim ini memihak kepada Pahang,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan