KUALA LUMPUR: Kelab bola sepak berpangkalan di London dilihat menarik minat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ia susulan kenyataan yang dikeluarkan Tunku Ismail menerusi akaun Twitternya, HRH Crown Prince of Johor @HRHJohorII apabila beliau menyifatkan kelab dari London sebagai pasukan ideal untuk dimiliki.
Dalam kenyataan sama, pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut mengakui langkah untuk melabur dalam pasukan gergasi Serie A, AC Milan sebagai idea yang kurang bernas.
“Ia (memiliki AC Milan) sentiasa menjadi impian saya. Milan adalah pasukan yang besar namun malangnya, mereka kini berhutang lebih 600 juta.
“Jadi itu bukan idea yang bagus. Pasukan yang ideal untuk dimiliki adalah kelab dari London,” katanya malam tadi.
Beberapa kelab ternama yang berpangkalan di London dan memiliki reputasi besar di peringkat antarabangsa adalah juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dua musim lalu, Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur.
Beberapa kelab lain yang turut berpangkalan di London dan beraksi dalam EPL termasuklah Fulham, Crystal Palace dan West Ham United.
Sebelum ini, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu pernah dikaitkan untuk menjadi pemegang saham kecil gergasi Itali itu.
Beliau dikatakan sudah dimaklumkan oleh kelab Itali Seria A, AC Milan untuk menjadi pemegang saham kecil dalam kelab berkenaan.
Menurut laporan media Itali, Presiden AC Milan, Yonghong Li sudah berunding dengan rakyat Malaysia berketurunan Melayu bagi membeli saham dalam kelab berkenaan.
Bagaimanapun, TMJ menafikan laporan itu dan menegaskan betapa beliau tidak mempunyai banyak wang untuk memiliki pasukan gergasi Itali itu.
Jelasnya, memiliki AC Milan adalah sekadar impiannya memandangkan pasukan itu adalah pasukan kegemarannya sejak kecil.
Ulasan
Catat Ulasan