Mifa Pincang Berdepan Johor Darul Ta’zim

Pincang
MISC-Mifa sedikit pincang apabila mereka berdepan dengan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim malam ini kerana tiga tonggak utama yang digantung perlawanan dan mengalami kecederaan.
Pemain pertahanan import, Elizeu Melo digantung satu perlawanan susulan mengumpul dua kad kuning dan P Rajesh yang mengalami kecederaan pangkal peha.
Manakala penyerang terbaik MIFA, Kpah Sherman turut digantung tiga aksi oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ketua jurulatih MIFA, K Devan berkata ketiadaan tiga pemain itu begitu dirasai ketika pasukan mahu melayakkan diri ke peringkat ke suku akhir Piala Malaysia.
“Jawatankuasa Tatatertib sudah memutuskan keputusan pada hari ini dan kita terpaksa bermain tanpa dia (Sherman) serta dua lagi pemain lain.
“Ini suatu keputusan yang mengejutkan dan berlaku pada saat-saat genting yang tidak menyebelahi kita. Saya akui kekuatan kita akan kurang tanpa pemain ini.
“Namun, kita sudah ada pelan A dan B untuk menangani masalah ini. Kita akan gunakan pemain tempatan dengan sebaiknya dan sudah menukar serta mengubah formasi untuk menghadapi aksi ini,” katanya kepada Berita Harian.
MIFA masih mendahului kumpulan C selepas lima perlawanan apabila mengutip lapan mata bersama pasukan Kedah di tangga kedua, namun dibezakan dengan perbezaan jaringan, sementara JDT di kedudukan ketiga dengan enam mata.
Pasukan bimbingan K.Devan hanya perlu seri malam ini bagi memastikan tempat mereka di peringkat suku akhir terjamin.
“Nasib pasukan kini di tangan pemain. Jika kami dapat mengharungi 90 minit terakhir ini dengan baik dan penuh disiplin, saya yakin kita mampu untuk mara sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam Piala Malaysia,” tambah Devan.
Pada pertemuan pertama sebelum ini, MIFA berjaya mengejutkan JDT di halaman sendiri apabila mencatat kemenangan 2-1 di Larkin.
Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan MISC-Mifa menentang Johor Darul Ta’zim malam ini? Mampukah Mifa mengutip satu mata sekaligus menempah tiket ke saingan suku akhir? Atau JDT akan mencatat tiga mata penuh sekaligus menafikan kemaraan Mifa?

Ulasan