Langkau ke kandungan utama

Menang ke atas JDT adalah kejayaan sepasukan

Pemain Kedah, Sandro Da Silva Mendonca berjaya  menjaringkan gol pertama Pasukan Kedah pada Perlawan

Pemain Kedah, Sandro Da Silva Mendonca berjaya menjaringkan gol pertama Pasukan Kedah pada Perlawanan Piala Malaysia Kedah bertemu Pasukan JDT di Stadium Darul Aman malam tadi.
ALOR SETAR - Pemangku Jurulatih Kedah Azzmi Aziz menyifatkan komitmen tinggi yang ditunjukkan anak buahnya mendorong kepada tercapainya impian untuk menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), 3-1 dalam perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Pasukan Lang Merah bermula dengan baik apabila berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sepakan Sandro Da Silva pada minit kelima permainan sebelum disusuli gol kedua pada minit ke-46 menerusi Muhammad Akhyar Rashid manakala gol ketiga oleh Liridon Ksrasniqi pada minit akhir permainan babak kedua.
"Sedia maklum, JDT merupakan antara pasukan terbaik, jadi pasukan lain berhajat untuk tewaskan mereka dan malam ini kita berjaya mencipta kemenangan ke atas mereka. Ia lagi bermakna kerana kemenangan ini diperoleh di gelanggang sendiri hasil komitmen tinggi semua pemain," katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.
Beliau mengakui kemunculan Baddrol Bakhtiar dan Muhammad Akhyar Rashid pada perlawanan malam ini turut membantu pasukan Kedah menumpaskan JDT, namun kerjasama keseluruhan yang ditunjukkan semua pemain menjadi tonggak utama kepada kejayaan tersebut.
"Saya harap prestasi baik yang dipamerkan pemain malam ini dapat diteruskan untuk perlawanan menentang Kelantan nanti dan semoga Rizal Ghazali yang mengalami kecederaan sempat pulih," katanya.
Sementara itu, Alvaro Silva gembira apabila Kedah berjaya menumpaskan JDT kerana tiga mata yang diperoleh malam ini sangat penting, selain membantu menaikkan semangat pasukan untuk berdepan dengan Kelantan selepas ini.
"Sebelum ini kita kalah pada JDT tetapi semangat yang ditunjukkan pemain pada perlawanan ini sangat luar biasa. Selepas ini semua pemain terutamanya bahagian pertahanan perlu lebih kuat dan tidak boleh melakukan kesalahan tambahan ada dua kad kuning malam ini," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Pasukan JDT Luciano Gabriel Figueroa berkata JDT telah buat sehabis baik dan cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi percaturan tidak menjadi berikutan prestasi baik yang ditunjukkan Kedah, namun kesilapan yang berlaku malam ini akan diperbaiki untuk perlawanan akan datang. - Bernama

Ulasan