PEMAIN Pahang, Muhammad Safuwan Baharudin (21) meraikan jaringan bersama penyokong dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia menentang JDT di Stadium Darul Makmur kelmarin yang berkesudahan seri 1-1. bernama
KUANTAN 24 Sept. - Skuad Tok Gajah belum menyerah kalah walaupun dilihat akan menghadapi kesukaran untuk melepasi cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam suku akhir kedua di Johor Bahru nanti.
Pahang terpaksa bekerja keras hingga tamat permainan dalam pertemuan pertama di Kuantan malam tadi untuk memperoleh gol penyamaan pada minit kedua masa kecederaan bagi mengikat lawan mereka dengan keputusan seri 1-1.
Keputusan itu walau bagaimanapun dilihat lebih memihak kepada JDT kerana mereka bukan sahaja memiliki kelebihan gol tempat lawan tetapi juga akan bermain di hadapan penyokong sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelak.
Namun bagi pengendali Pahang, Dollah Salleh, skuad bimbingannya itu masih mempunyai 90 minit baki perlawanan untuk memastikan mereka mara ke peringkat separuh akhir piala berprestij berkenaan.
“Kesilapan kita adalah melepaskan gol awal pada minit ke-46 perlawanan dan perlu memperbetulkan beberapa kesilapan sebelum bertandang ke Larkin.
“Saya berpuas hati walaupun seri, jika tewas pasti menyukarkan kita berdepan JDT di Larkin 29 September ini,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Dollah turut meluahkan perasaan kecewa kerana perlawanan itu kerap terhenti sehingga menyebabkan Tok Gajah tidak sempat melancarkan serangan ke kubu lawan.
Ulasan
Catat Ulasan