Kesilapan benteng punca JDT rebah - Figueroa


LUCIANO Figueroa. - Foto NSTP
ALOR SETAR: Kesilapan benteng menjadi antara punca utama kekalahan 1-3 Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika aksi menentang Kedah dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman semalam.
Menurut Pengurus Pasukan JDT, Luciano Figueroa, mereka sudah mencuba sedaya upaya dan beraksi dengan baik, namun kesilapan yang dilakukan oleh benteng pertahanan menjadi antara penyebab mereka tewas.
"Kami mencuba memberi saingan terbaik, namun selepas ketinggalan di babak kedua, kami gagal mendapatkan gol tambahan untuk menandingi kelebihan jaringan Kedah."
"Kedah bermain dengan baik dan dua gol yang dicipta Kedah apabila mendahului di babak pertama dan awal babak kedua memberi tekanan untuk JDT bangkit mencari gol penyamaan."
"Kami menguasai lebih daripada 60 peratus kawalan bola, kami melakukan banyak percubaan tepat ke arah pintu gol dan bermain dengan baik, tetapi masalahnya adalah pertahanan kami melakukan kesilapan mudah."
Luciano turut kecewa terhadap kesilapan persefahaman kalangan pemain pertahanannya yang tidak dijangka berlaku sehingga membuka ruang Kedah memanfaatkan gol.
Luciano turut memberi jaminan bahawa JDT akan bangkit dengan memperkukuh lagi benteng pertahanan selepas ini.
"Kami tidak boleh mempunyai situasi penyerang dan pemain tengah bermain dengan baik tetapi pertahanan membuat kesilapan mudah. Itu menjatuhkan moral pasukan. Tunggu dan lihat dan kami akan membuat perubahan untuk ke hadapan."

Ulasan