KEJAYAAN Kelantan melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2018 menjawab segala kritikan terhadap prestasi terumbang-ambing yang diperagakan oleh The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pemangku Jurulatih, Yusri Che Lah berkata, kejayaan itu hadir tepat pada masanya selepas tiada siapa yang memberikan harapan kepada TRW untuk mengharungi saingan Piala Malaysia musim ini apabila diundi bersama juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah dan MISC-MIFA.
“Semua orang tahu mana mungkin kami boleh kalahkan pasukan sekuat Kedah lebih daripada satu gol. Namun, kami buktikan malam ini (kelmarin).
“Saya bangga dengan apa yang telah dibuktikan oleh pemain apabila beraksi sebagai satu unit dan akhirnya Kelantan keluar sebagai pemenang dalam pertemuan penuh dramatik itu,” katanya.
Pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin, Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-51 menerusi Muhammad Daniel Asyraf Abdullah sebelum Nik Akif Syahiran Nik Mat melengkapkan malam bermakna buat TRW.
Kelantan layak ke suku akhir menerusi perkiraan bolos dengan pesaing terdekat, MISC-MIFA serta Kedah meskipun ketiga-tiga pasukan terikat dengan kutipan lapan mata.
Yusri memberitahu, jaringan kedua Kelantan oleh Nik Akif Syahiran pada masa kecederaan sebelum tamat perlawanan cukup sentimental.
Katanya, sebagai jurulatih beliau sama sekali tidak menyangka mampu membawa Kelantan mara ke suku akhir.
Ujarnya, jaringan itu hadir tepat pada masanya selepas dia mengetahui pesaing terdekat, MISC-MIFA tumpas 0-3 kepada JDT.
“Sebaik sahaja mengetahui keputusan di Shah Alam (MISC-MIFA lawan JDT) saya terus arahkan pemain untuk mendapatkan jaringan kerana 1-0 belum memadai untuk layak ke suku akhir.
“Namun, tuah menyebelahi kita apabila jaringan Nik Akhir hadir tepat pada masanya dan saya berterima kasih kepada semua pemain yang telah mempamerkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan tersebut,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan