KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan tampil dengan skuad lebih segar apabila membayangkan akan terus 'memborong' pemain baharu sebagai persediaan menghadapi saingan musim depan yang dijangka lebih mencabar.
Malah, menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) hari ini, mereka turut mengumumkan akan menaikkan pangkat dua pemain JDT II ke pasukan utama yang turut beraksi pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.
Menurut pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, perkembangan positif pasukan sepanjang tahun ini cukup membanggakan apabila berjaya meraih lima trofi daripada skuad senior dan junior.
"Kami sudah mula dapat melihat pembangunan yang berkembang dengan baik dan terdapat peningkatan positif untuk maju. Kami mempunyai dua pemain JDT II yang akan menyertai skuad utama JDT pada musim depan.
"Walaupun sudah banyak perkembangan positif dicapai dalam sistem pembangunan, itu tidak akan menghentikan kami daripada terus mengambil pemain baharu dari negeri lain.
“Kami tetap akan mencari pemain dan bakat dari negeri lain.
"Kita lihat pasukan Bayern Munich, berapa ramai anak jati Bavaria yang bermain untuk kelab itu?. Berapa ramai anak jati Barcelona bermain dengan Barcelona?.
“Berapa ramai anak jati Manchester yang bermain untuk Manchester City?. Berapa ramai anak jati Turin bermain untuk Juventus?. Berapa ramai anak jati Paris Saint Germain bermain untuk kelab berkenaan?.
"Polisi kami lebih kurang sama dengan kelab besar yang lain. Kami bukan sahaja bekerja keras untuk melahirkan pemain, tetapi kami tetap akan membeli pemain.
“Kepada sesiapa yang mahu kekal dalam mentaliti ‘anak jati’, sila bangga dengan apa yang anda ada, tetapi jangan sibuk mempersoalkan polisi kelab lain," katanya.
Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu turut menepis dakwaan yang beranggapan kelab berkenaan sudah hilang kepercayaan penyokong ekoran kemerosotan jumlah kehadiran peminat di Stadium Larkin.
"Ada juga pihak yang mengatakan kami hilang penyokong, tetapi kehadiran penyokong JDT adalah yang tertinggi daripada pasukan lain dalam negara sejak dari tahun 2013. Jadi, jagalah pasukan sendiri daripada sibuk dengan polisi pasukan lain," tambahnya.
Ulasan
Catat Ulasan