PENYERANG JDT Safawi Rasid meraikan jaringan pertamanya pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Pahang di Stadium Larkin, malam ini. - UTUSAN ONLINE/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 29 Sept. - Penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia menewaskan Pahang dengan agregat 3-1 setelah mencatatkan kemenangan 2-0 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Safawi Rasid muncul wira Harimau Selatan pada perlawanan itu apabila meledakkan dua jaringan pada minit pertama dan ke-72 bagi menjinakkan pasukan Tok Gajah.
Belum pun sempat perlawanan bertukar menjadi panas, JDT terlebih dahulu mencipta jaringan selepas 53 saat perlawanan berlangsung hasil jaringan Safawi.
JDT hampir menggandakan jaringan pada minit ke-8 menerusi percubaan Ahmad Hazwan Bakri namun rembatan deras yang dilakukan hanya menggegar palang gol lawan.
Ahmad Hazwan sekali lagi menghampakan peminat tuan rumah apabila mensia-siakan lorongan Safawi dari sayap kanan untuk meletakkan pasukan di kedudukan yang selesa.
Skuad kendalian Dollah Salleh dilihat serba tidak menjadi apabila gagal melancarkan serangan berbahaya ke arah kubu lawan.
Pertukaran yang dilakukan pada babak kedua dengan membawa masuk Muhd. Zuhair Aizat Mohd. Nazri menggantikan Amamchi Iwuji Amutu jelas tidak membawa sebarang impak terhadap aksi pasukan di atas padang.
Jaringan Safawi pada minit ke-72 melengkapkan kemenangan JDT sekali gus menghampakan hasrat Tok Gajah yang memerlukan hanya satu jaringan gol untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan