JDT lepaskan Hadi Fayyadh



HADI Fayyadh Abdul Razak. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Penyerang muda Hadi Fayyadh Abdul Razak kini terpaksa mencari pasukan baru selepas kontraknya ditamatkan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lalu.
Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards hari ini dengan menyatakan keputusan itu dibuat bagi membolehkan Hadi, 18, mencuba nasib dengan pasukan lain.
Keputusan kelab Harimau Selatan itu juga mengambil kira tindakan Hadi menjalani sesi ujian percubaan dengan kelab liga divisyen dua Jepun, Roasso Kumamoto pada 6 Ogos lalu selama hampir seminggu.
“Kontraknya ditamatkan bulan lalu disebabkan oleh kesungguhannya untuk ke Jepun dan kami memutuskan dengan menamatkan kontrak itu ia akan membolehkan Hadi untuk membuat sebarang rundingan kontrak dengan pihak lain tanpa terikat dengan JDT.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Hadi untuk masa akan datang,” kata Edwards dalam satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.
Pemergian Hadi menimba pengalaman dengan Roasso Kumamoto sebelum ini diuruskan oleh syarikat pengeluar minuman Yakult (M) Sdn Bhd.
Tanpa pasukan ketika ini, ia mungkin memberi masalah buat Hadi yang sebelum ini mewakili JDT II untuk berlatih bagi merebut tempat dalam skuad B-19 kendalian Bojan Hodak ke Kejohanan AFC di Indonesia pada Oktober depan.
Hadi turut beraksi bersama skuad B-23 kendalian Datuk Ong Kim Swee yang melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China, Januari lalu dan pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini.

Ulasan