JDT jadi sasaran


KUALA LUMPUR: Status Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai juara Liga Super menjadikan pasukan itu sebagai ‘sasaran’ yang perlu ditewaskan oleh pasukan lain pada saingan Piala Malaysia.
Pengurus dan ketua jurulatihnya, Luciano Figueroa mengakui pertandingan pada akhir musim sering memberikan cabaran hebat memandangkan skuad Harimau Selatan itu sudah dilabel sebagai juara.
“Dalam kes ini membabitkan saingan Piala Malaysia, biasanya ia membuatkan pasukan yang belum memenangi sebarang piala akan bersungguh-sungguh memberikan segala yang mereka ada untuk menang.
“JDT juara Liga Super. Sekarang, tugas saya adalah untuk memotivasikan pemain supaya memberikan aksi terbaik mereka bagi pertandingan akhir musim ini,” katanya menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, malam tadi.
Selepas lima perlawanan Piala Malaysia, JDT menghuni tangga ketiga Kumpulan C apabila sekadar memenangi dua perlawanan untuk menghimpun enam mata.
Meskipun bergelar penyandang juara, namun mereka dikejutkan apabila tumbang dalam tiga perlawanan menerusi kekalahan 1-2 di tangan pasukan yang tampil dalam saingan itu buat kali pertama, MIFA, 0-1 di tangan Kelantan dan terbaharu 1-3 kepada naib juara tahun lalu, Kedah.
Terdahulu, mereka mengesahkan gelaran Liga Super buat kali kelima berturut-turut musim ini sekali gus mencipta sejarah sebagai pasukan tempatan pertama akan beraksi pada Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.
Mereka akan menyertai saingan elit bola sepak Asia itu sebagai wakil Zon Timur bersama beberapa pasukan yang sudah mengesahkan tempat seperti Sydney FC dan Melbourne Victory.

Ulasan