KUALA LUMPUR: Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala AFC pada 2015 dijadikan inspirasi terbaik buat skuad Liga Super Perak mencabar kejuaraan di peringkat Asia musim depan.
Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munai berkata, keupayaan skuad Harimau Selatan mengungguli Piala AFC harus dicontohi semua pasukan termasuk Perak yang akan beraksi pada pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Bagaimanapun tegasnya, skuad The Bos Gaurus tetap akan berbelanja secara berhemah dan tidak akan berbelanja ‘membuta tuli’ memandangkan kos perbelanjaan dijangka meningkat hampir tiga kali ganda.
“Tentu sekali pelaburan (bermain di peringkat AFC) makin besar kerana membabitkan perjalanan antara venue perlawanan di luar negara yang pastinya meningkat.
“Malah, kami juga tak mahu masuk ACL sekadar penuhkan jadual perlawanan atau penuhkan kuota dari Malaysia.
“Kami nak hantar pasukan yang betul-betul berkemampuan untuk memberi tentangan kepada lawan. Maksudnya, apa yang JDT lakukan itu menjadi inspirasi buat kami.
“Cuma kami tak bolehlah nak berbelanja seperti mereka kerana ada kekangan kewangan dengan penaja yang agak terhad. Maka PAFA perlu mencari sumber lain,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan mereka sudah menyerahkan semua dokumen kepada FAM berhubung kelulusan Perak untuk beraksi dalam saingan piala berprestij di rantau Asia itu.
“Saya optimis skuad The Bos Gaurus akan beraksi pada pusingan kelayakan ACL. Semua dokumen sudah disediakan dan hanya menunggu kata putus FAM.
“Kami hantar semua dokumen itu kepada AFC sebelum tarikh akhir pada 30 Ogos lalu. Kami difahamkan, penghantaran dokumen itu menjadi syarat utama untuk beraksi terutamanya di pusingan kelayakan. Jadi, sekarang ini kami hanya menunggu jawapan rasmi daripada FAM,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan