JDT ikat Pahang


PEMAIN tengah Pahang, Safuwan Baharuddin muncul wira selepas menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan apabila seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, hari ini.  
Keputusan itu melegakan skuad Tok Gajah selepas lawan menjaringkan gol pendahuluan sebaik aksi babak kedua bersambung.  
Pada perlawanan itu, JDT terlebih dulu menguji skuad Tok Gajah menerusi percubaan Safawi Rasid tetapi bola tendangan penyerang itu sedikit melepasi palang tuan rumah seawal minit keempat. Selepas itu, giliran tuan rumah pula melancarkan serangan ke kubu lawan yang berjaya disekat pertahanan JDT.  
Namun, peluang terbaik Pahang hadir daripada tandukan Patrick Cruz yang melepasi palang selepas menerima hantaran daripada Mohamadou Sumareh pada minit ke-33 dan keputusan seri tanpa jaringan kekal pada separuh masa pertama.  
Sebaik bersambung babak kedua, JDT mengejutkan Pahang apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan Gabriel Cabbera yang menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-46.  
Tersentak jaringan itu, skuad kendalian Dollah Salleh menggandakan asakan dan usaha itu berbaloi apabila Safuwan menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk merekodkan keputusan seri 1-1.
Pahang bakal berdepan tugas berat kerana JDT diakui memiliki kelebihan beraksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 29 September ini.

Ulasan