Dollah pening



DOLLAH Salleh

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui dalam dilema untuk menyenaraikan kesebelasan terbaik bertemu Johor Darul Takzim (JDT), pada suku akhir pertama Piala Malaysia, malam esok. 
Bekas pemain kebangsaan itu mengakui, komitmen tinggi dipersembahkan anak buahnya sepanjang sesi latihan menyebabkan beliau perlu membuat pilihan tepat dalam pertembungan di Stadium Darul Makmur nanti.
"Di sebalik perkembangan positif semua pemain bebas daripada kecederaan dan berada pada prestasi terbaik, saya akui sukar untuk memilih kesebelasan terbaik.
"Ini kerana barisan pemain simpanan juga mempamerkan kesungguhan dan ada antara mereka beraksi cemerlang ketika menang 4-0 dengan Sabah, Isnin lalu. 
"Antara pemain yang dilihat berpontensi untuk disenaraikan ialah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Zuhair Aizat Nazri. Tetapi, keputusan muktamad akan diumumkan esok," katanya. 
Ditanya peluang untuk merekodkan kemenangan selesa ke atas JDT, Dollah mengharapkan anak buahnya dapat mempamerkan prestasi terbaik. 
Tegasnya, ketiadaaan penyerang import JDT, Fernando Marquez bukanlah satu kelebihan kepada skuad Tok Gajah untuk menang.
"JDT masih lagi memiliki penyerang berbisa seperti Safawi Rasid yang akan memberi tekanan di bahagian pertahanan. 
"Apa yang perlu diberi perhatian ialah memanfaatkan segala peluang, kerana kami perlu menang dengan bekalan selesa sebelum ke Larkin, 29 september ini. 
"Dengan sokongan padu peminat Tok Gajah, kemenangan diharap memihak kepada Pahang untuk mencapai misi ke pentas final," katanya.

Ulasan