Devan tetap bangga pencapaian MIFA



KETUA jurulatih MIFA, K Devan.

SEREMBAN: Biarpun impian untuk membawa MIFA mara ke suku akhir Piala Malaysia tidak kesampaian, namun ketua jurulatih K Devan mengakui puas dengan pencapaian skuad bimbingannya sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Katanya, prestasi yang ditunjukkan pemain sepanjang kempen musim ini amat luar biasa apabila berjaya menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ketiga dan hampir melakukan kejutan dalam kempen Piala Malaysia.
“Semua sedia maklum MIFA pasukan baharu dalam kempen liga utama bola sepak negara ini dan tidak ramai yang berani menjangkakan MIFA mampu memberikan saingan terbaik musim ini.
“Saya yakin dan percaya prestasi baik yang dicapai ini bukan saja dapat menaikkan imej MIFA sendiri, malah mungkin ia akan memberi peluang kepada pemain tempatan dan import pasukan ini dipancing pasukan lain musim depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
MIFA menamatkan saingan Kumpulan C Piala Malaysia di tangga ketiga dengan mengumpul lapan mata, berkongsi mata dengan dua pencabar lain iaitu Kelantan dan Kedah, namun dibezakan dengan jumlah jaringan tipis yang melayakkan Kelantan ke kelompok lapan terbaik.
Devan mengakui sedikit kecewa kerana gagal merealisasikan sasaran untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila pasukannya dibezakan dengan satu gol berbanding Kelantan.
“Memang rasa kecewa kerana gagal mengemudi pasukan ke suku akhir selepas mereka menunjukkan prestasi cemerlang pada peringkat kumpulan hingga berjaya menewaskan Johor Darul Ta’zim 2-1, pada perlawanan pertama di Larkin.
“Malah, keputusan yang kami raih pada peringkat kumpulan juga memberangsangkan selain mempamerkan aksi konsisten,” katanya.

Ulasan