SEREMBAN: Biarpun turun tanpa ayam tambatan Kpah Sherman dan Elizeu Araujo, MIFA sudah bersedia dengan resipi tersendiri dalam usaha memburu keputusan positif ketika melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan terakhir Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.
Ketua jurulatihnya K Devan berkata, khidmat dua tonggak import itu tidak dapat dimanfaatkan kerana penggantungan dan masalah kecederaan, namun tidak bimbang dengan kekosongan di posisi itu.
“Walaupun persiapan kami sedikit terjejas susulan ketiadaan dua pemain import ini, namun kami membuat persiapan rapi dalam memastikan pasukan dapat mengulangi kejayaan menewaskan pasukan gergasi Liga Malaysia itu.
“Tambahan pula, ini perlawanan penting yang akan menentukan nasib MIFA dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Biarpun kami beraksi di laman sendiri tapi ia satu perlawanan yang sukar dengan mengambil kira reputasi JDT, malah saya beranggapan kami hanya mempunyai peluang 40 peratus untuk menang berbanding lawan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Devan berkata, beliau mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan semangat melawan terus terserlah dalam kalangan pemain sekali gus layak ke suku akhir Piala Malaysia.
“Kami tahu tahap keupayaan pemain JDT tapi kami ada pendekatan tersendiri dalam usaha memastikan pasukan tampil dengan kekuatan yang baik dan meraih sekurang-kurangnya keputusan seri bagi melayakkan diri ke suku akhir.
“Justeru itu, kami akan menggunakan 90 minit aksi sebaik mungkin,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan