Bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah menyifatkan hukuman penggantungan paling sesuai dikenakan untuk dijadikan sebagai pengajaran berguna buat pemain terbabit.
Beliau bagaimanapun menjelaskan tempoh penggantungan itu tertakluk kepada undang-undang yang sudah tertakluk di bawah FAM dan sejauh mana insiden berkenaan serius.
“Saya tak pasti bagaimana Jawatankuasa Tatatertib FAM akan buat (keputusan), tapi melihat kepada insiden itu (pemain) memang boleh digantung walaupun sudah tersingkir daripada kejohanan.
“Sama ada dia masih bermain (dalam SUKMA) atau tidak, itu lain cerita. Kalau dia akan bermain untuk skuad Piala Presiden atau negeri (Liga Malaysia) penggantungan itu tetap akan berjalan.
“Bagi saya mereka memang patut digantung sebagai pengajaran untuk masa depan mereka. Lagipun mereka masih muda dan perjalanan karier masih jauh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berdasarkan laporan Sukan NSTP semalam, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu akan menentukan bentuk hukuman ke atas pemain terbabit pada mesyuarat, esok.
Insiden pergaduhan yang mencemarkan temasya SUKMA Perak itu tercetus pada penghujung perlawanan menyaksikan pengadil, Mohd Afiq Ahmad Nadzir terpaksa melayangkan kad merah kepada Mohamad Shafawi Mohamad dan Mohammad Rahmat Makasuf dari Terengganu, manakala dua kad merah kepada pemain Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar.
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards sebelum ini mendakwa kegagalan pengadil mengawal permainan dengan baik sebagai punca berlaku kekecohan itu.
Berdasarkan rekod, Jawatankuasa Tatatertib FAM pernah menjatuhkan hukuman gantung empat perlawanan dan denda RM1,000 ke atas beberapa pemain yang terbabit dalam pergaduhan sebelum ini seperti yang diterima pemain PKNP FC, Fazli Zulkifli dan Suhairy Johari dari ATM tahun lalu.
Ulasan
Catat Ulasan