KUALA LUMPUR: Nasib enam pemain ‘samseng’ Johor dan Terengganu pada aksi bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 akhirnya menerima padah selepas dikenakan hukuman berat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam.
Hasil keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu, enam pemain masing-masing tiga tonggak utama Johor dan Terengganu didapati bersalah kerana berkelakuan ganas dengan menumbuk dan menendang pemain lawan ketika aksi kedua-dua pasukan di Stadium UPSI Tanjung Malim, Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, dua pemain Terengganu, Mohammad Rahmat Makasuf dan Shafawi Mohamad serta dua dari Johor, Mohamad Hariz Kamarudin dan Nur Ismail Sukandar melanggar artikel 50.1(d) dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM yang menyaksikan mereka digantung tiga perlawanan.
Bagi dua pemain lagi Muhamad Fakrul Wahid (Terengganu) dan Muhammad Azrul Haziq Aminuddin (Johor) didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM yang turut menyaksikan digantung tiga aksi selain diberi amaran keras dan hukuman lebih berat dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun, memandangkan skuad Harimau Selatan sudah tersingkir lebih awal daripada saingan maka penggantungan tiga perlawanan itu akan dikenakan bagi tiga aksi rasmi lain kejohanan anjuran FAM.
Penangan Maggi Pedas Giler
Ramai orang dah mencuba #MaggiPedasGiler tetapi adakah anda yakin anda tahan makanan yang #PedasGiler ini? Kami cabar anda agar sertai #CabaranKontrolMacho ini dan buktikan kehebatan anda!
SPONSORED BY MAGGI
Terdahulu, aksi antara Johor dan Terengganu dicemari insiden pergaduhan yang tercetus pada masa kecederaan selepas berlaku provokasi tolak menolak sebelum seorang pemain Johor didakwa mula menendang pemain lawan menyebabkan keadaan menjadi kecoh.
Insiden itu juga menyebabkan seorang penjaga garisan yang cuba mententeramkan keadaan terjatuh selepas ditolak beberapa pemain.
Pengadil, Mohd Afiq Ahmad Nadzir kemudian melayangkan kad merah kepada Shafawi dan Rahmat dari Terengganu, manakala dua kad merah kepada pemain Johor, Hariz dan Nur Ismail.
Perlawanan itu berakhir dengan Terengganu menang tipis 2-1 sekali gus menyebabkan Johor tersingkir.
Sementara itu, Baljit turut mengarahkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) membayar denda sebanyak RM15,000 susulan tindakan penyokong pasukan itu yang membakar 25 batang suar ketika aksi Piala Malaysia menentang Kelantan di Larkin pada 25 Ogos lalu.
Pemain MIFA, Kpah Sherman pula digantung tiga perlawanan kerana didapati berkelakuan ganas dengan menerjah keras mengenai bahagian lutut pemain import Kedah, Liridon Krasniqi pada aksi Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 26 Ogos lalu.
Ulasan
Catat Ulasan