SEREMBAN: "Ini perlawanan menentukan nasib pasukan. Biarpun bukan tugas mudah tapi kami semua sudah menanam tekad untuk berjuang habis-habisan bagi mendapatkan kemenangan untuk membawa pasukan layak ke suku akhir," kata penjaga gol MIFA, Muhaimin Mohamad.
Kata-kata semangat itu dilontarkannya menjelang misi hidup mati pasukannya musim ini, apabila bakal menanti kunjungan Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi penentuan Kumpulan C saingan Piala Malaysia, di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Tonggak berpengalaman itu berharap segala perancangan dan persiapan pasukan itu menjelang perlawanan berkenaan akan menjadi walaupun kemungkinan beberapa pemain utama dijangka tidak dapat beraksi akibat penggantungan atau kecederaan.
"Saya mendapat tahu kemungkinan ada beberapa pemain mungkin tidak dapat beraksi kerana masalah kecederaan atau penggantungan, namun kami tetap fokus kepada misi mendapatkan kemenangan.
"Kami sudah membulat tekad untuk memberikan persembahan terbaik bagi mendapatkan kemenangan kerana impian kami mahu membawa pasukan layak ke suku akhir.
"Biarpun berstatus`underdog’, tapi kami sudah membuat persiapan rapi dari segala aspek dan berharap dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, kami mampu mengulangi aksi cemerlang dengan kejayaan menewaskan JDT," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhaimin berkata, dia tidak rela hasrat mereka bersama pasukan kelab itu untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam kempen Piala Malaysia musim ini tersekat di pertengahan jalan.
Ulasan
Catat Ulasan