BANGSA JOHOR - KONSEP NASIONALIS YANG RELEVAN DARI DAHULU DAN SELAMANYA

BANGSA JOHOR - KONSEP NASIONALIS YANG RELEVAN DARI DAHULU DAN SELAMANYA
Ketika berkunjung ke Jakarta dan Palembang tempoh hari untuk menonton kejohanan Sukan Asia, ada satu perkara yang menarik minat saya terhadap masyarakat Indonesia.
Di Malaysia, warga Indonesia sering dipandang lekeh dan ditertawakan tetapi ada satu perkara yang sebenarnya kita harus belajar dan malu kepada warga Indonesia.
Semangat nasionalis mereka cukup menebal dan mereka bangga bergelar Bangsa Indonesia. Tanpa mengira latar kaum, suku, agama atau warna kulit mereka bergabung di bawah bendera merah putih dan semangat Bhinneka Tunggal Ika.
Melihat konteks di Malaysia, konsep ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di negeri Johor Darul Ta'zim. Konsep Bangsa Johor yang digunapakai sejak dahulu dilihat antara idea yang mampu menyatupadukan seluruh warga Johor di bawah satu bendera.
Rakyat Johor harus berbangga dengan konsep ini kerana ia jelas memberikan keharmonian antara kaum dan mendekatkan masyarakat dengan golongan diraja. Bukan hanya di dalam bola sepak sahaja tetapi keseluruhan agenda negeri.
Kita harus sentiasa kuat dan tidak mudah melatah atau melenting jika dicuit. Kita harus ingat, jika kita sering diberi perhatian itu bermaksud yang kita sebenarnya bagus dan menimbulkan gerun kepada orang lain.
Kerana itulah, pasukan JDT sering mendapat kecaman dan tohmahan akibat rasa cemburu yang melampau dan rasa takut Bangsa Johor akan mendahului mereka dalam semua bidang.
Ayuh bangkit dan banggalah menjadi Bangsa Johor. Negeri ini kaya dengan sejarah dan melalui sejarah ini lah kita menjadi negeri yang maju dengan pentadbiran yang bagus sejak dari DYMM Sultan Johor terdahulu lagi.
Jadi ingatlah bahawa Bangsa Johor itu bukanlah hanya lagu negeri, tetapi fahaman dan konsep yang lebih mendalam maksudnya. Mari menghayati konsep ini sebelum kita mengorak luaskan kuasa.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan