KUALA LUMPUR: Adakah sensasi Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid akan berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT)?
Itu persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong skuad Helang Merah selepas Akhyar atau terkenal dengan jolokan 'Neymar Kedah' itu dilihat merakam gambar di depan laluan masuk ke padang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sekali gus tular di laman sosial.
Biarpun ada pihak yang menyatakan ia sekadar lawatan biasa bintang muda itu, ia masih belum mampu diterima, apatah lagi, lawatan dan kunjungan peribadi beberapa pemain ke stadium Harimau Selatan itu sering kali berakhir dengan perpindahan ke pasukan itu.
Bagaimanapun, jika Akhyar memilih untuk menukar angin bersama JDT musim depan, ia dianggap keputusan tepat memandangkan juara Liga Super lima musim berturut-turut itu akan bertanding dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan yang mampu memberi pendedahan kepadanya.
Akhyar yang juga pemain skuad bawah 19 (B-19) dan B-23 tahun negara sememangnya menjadi tumpuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila tampil dengan aksi yang menarik dalam setiap perlawanan dan turut merakam gol penting.
Malah, keserasiannya bersama dua lagi rakan sepasukan dalam skuad B-23, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad ketika Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu, dipercayai mampu memberi nafas baharu kepada jentera serangan JDT yang dilihat terlalu bergantung kepada tonggak import.
Malah, menerusi kiriman pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) pada 16 September lalu, beliau mengakui akan 'memborong' lebih ramai pemain tempatan sebagai persediaan menghadapi saingan musim depan yang dijangka lebih mencabar.
Ulasan
Catat Ulasan