A Foxsports article this time explains about financial problems being the main problem for M-League teams to continue their challenges in the new season. It also mentions that not all teams can be like Johor Darul Ta'zim FC (JDT).
Sebaik sahaja Terengganu City sah bergelar juara Piala FAM dengan menewaskan Selangor United pada Khamis lalu, perkara utama yang menjadi perbualan hangat adalah kekuatan kewangan mereka untuk meneruskan cabaran dalam saingan Liga Premier musim depan.
Pasukan digelar the sharks itu diketahui dihimpit masalah kewangan meruncing yang membawa kepada berlakunya isu tunggakan gaji selama beberapa bulan malah terdapat tuntutan lebih RM280,000 membabitkan kes yang telah dibawa ke Persatuan Bolasepak Malaysia untuk diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Dilaporkan pemain dan pegawai pasukan itu turut berada dalam ketidaktentuan memikirkan masa depan mereka. Inilah senario yang terpaksa dihadap saban tahun dalam Liga Malaysia dan jelas sekali masalah kewangan telah menjadi musuh utama di dalam menjayakan penswastaan pasukan.
Perlu diakui, tidak semua pasukan boleh jadi seperti Johor Darul Takzim, kebanyakannya tidak pandai berdikari di dalam mendapatkan sumber kewangan dan peruntukan dana menguruskan pasukan.
Rata-ratanya tidak tahu bagaimana untuk menggunakan platform yang mereka ada untuk menarik tajaan dari syarikat korporat dan malang sekali sehingga ke saat ini terdapat pasukan yang selesa bergantung harap kepada dana daripada kerajaan negeri.
Lebih memburukkan keadaan, sudahlah tidak berduit, tidak reti pula berbelanja mengikut kemampuan dengan mengukur baju di badan sendiri.
Maka tidak hairanlah jika kita sentiasa dihidangkan dengan cerita-cerita kurang enak mengenai kantung kering, tunggakan gaji, pasukan ditutup, dibubarkan dan akhirnya penyokong disalahkan.
Tatkala beberapa pasukan yang bergelut menangani masalah kewangan sudahpun mengucapkan selamat tinggal, terdapat juga pasukan yang setiap tahun menghadapi masalah sama tetapi masih kebal dan boleh bertahan umpamanya Kelantan, Pulau Pinang, Sarawak dan Perlis.
Cara pasukan-pasukan ini meneruskan survival mereka tanpa menjelaskan hutang lapuk adalah mudah. Mereka berhutang, janji akan bayar, minta peluang kedua, buat hutang baru, kemuka janji yang lain, buat lagi hutang baru, jadi kitarannya akan berterusan tanpa henti.
Mengambil iktibar dari apa yang pernah terjadi sebelum ini, isu seperti ini tidak lagi boleh berulang, ia satu pencemaran kepada bolasepak.
Jadi selain menangani isu kehadiran penyokong ke stadium yang semakin hari semakin merosot, pengurusan setiap pasukan mempunyai tugas yang lebih berat untuk memperbaiki kedudukan kewangan pasukan.
Belajarlah dengan pasukan-pasukan yang stabil kedudukan kewangan mereka – sebagai contoh mudah JDT, bagaimana mahu perkasakan teknik pemasaran dan pengiklanan, bagaimana menarik deretan penaja dari sektor korporat, ianya tidak salah untuk meniru perkara baik.
Jika tiada kepakaran, maka lantiklah seorang pegawai pemasaran yang kreatif. Jika anda mampu membayar RM50,000 untuk menggaji seorang pengarah teknikal yang tidak tahu apa fungsinya, boleh membayar seorang import RM50,000 untuk berlari-lari anak di atas padang, tiada salahnya menggaji seorang pegawai pemasaran yang boleh membantu survival pasukan.
Anda adalah wajah Liga Malaysia dan anda akan mencorakkannya untuk nampak cantik, atau nampak buruk di mata orang luar.
Foto : Johor Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan