1,000 penyokong beratur awal pagi





ANTARA penyokong yang beratur sejak 8 pagi. -Foto Asrol Awang

KUANTAN: Lebih 1,000 penyokong beratur seawal jam 8 pagi untuk membeli tiket aksi suku akhir pertama Piala Malaysia bagi menyaksilkan pertembungan Pahang dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam ini.
Biarpun terpaksa beratur dalam keadaan cuaca panas di Stadium Darul Makmur, mereka tidak mahu terlepas menyaksikan pertemuan sengit skuad Tok Gajah dengan Harimau Selatan itu.
Lebih menarik, musim ini, Pahang dan JDT bertemu pada suku akhir Piala FA yang menyaksikan skuad kendalian Dollah Salleh merekodkan kemenangan menerusi agregat 3-0. 
Jadi, tidak hairanlah penyokong Pahang mahukan skuad Tok Gajah sekali lagi melakar kemenangan sebagai bekalan selesa apabila beraksi pada suku akhir kedua di Larkin, 29 September ini. 
Tinjauan di perkarangan stadium mendapati, jualan tiket berjalan lancar dan kebanyakan peminat tidak menunggu lama untuk mendapatkan tiket. 
Bagi peniaga, Mohammad Firdaus Shamsuddin, 29, dari Balok, dia mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri dapat dimanfaatkan sebaik mungkin skuad Pahang. 
"Kelebihan ini seharusnya digunakan sepenuhnya untuk mencari kemenangan selesa sebagai bekalan di Larkin nanti. 
"Saya percaya jurulatih (Dollah) sudah mempunyai perancangan terbaik untuk mengekang JDT,” katanya.
Dalam saingan suku akhir malam ini, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) memperuntukkan 28,000 tiket yang mula dijual pada jam 9.30 pagi. 
Sebanyak enam kaunter tiket, termasuk satu kaunter khas untuk golongan wanita disediakan. Harga tiket adalah RM23 untuk tempat duduk utama, RM13 (berbumbung) dan RM10 (terbuka). 
Bagi keselesaan kepada penyokong, PBNP meminta semua peminat tiba lebih awal kerana 16 pintu masuk stadium mula dibuka jam 6.30 petang.

Ulasan