JOHOR BAHRU: “Syukur kami hanya tewas dengan jaringan tipis saja.” Itu reaksi pengendali Kelantan, Yusri Che Lah yang lega apabila pasukan bimbingannya hanya tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Malah, beliau tetap bangga dengan persembahan pemainnya yang memaksa skuad Harimau Selatan bermandi peluh sebelum melakar kemenangan dan percaya kekalahan skuad The Red Warriors (TRW) bukan bermakna perjuangan mereka musim ini sudah tamat.
Yusri mengaku sukar untuk TRW menang di Larkin yang menjadi kubu kuat JDT apatah lagi beliau hanya menurunkan pemain muda yang sudah berusaha memberi persembahan terbaik dalam perlawanan itu.
“Kami hanya mengharap kesilapan pemain JDT untuk cipta kejutan tetapi kami sedar jurang antara pemain saya dengan tuan rumah begitu jauh memandangkan mereka dibarisi pemain yang hebat.
“Walaupun tewas, saya berpuas hati dengan komitmen pemain yang melaksanakan tanggung jawab dengan mengikut arahan taktikal dan aksi babak pertama jelas mereka begitu bermotivasi apabila mengimbangi kekuatan JDT.
“Kami turun tanpa kelibat lima tonggak utama dan ada di antara pemain mengalami kecederaan serta penggantungan malah saya anggap pemain yang diturunkan pada perlawanan itu tetap konsisten,” katanya.
Yusri berkata, kelekaan di posisi pertahanannya menyebabkan JDT pantas menghukum untuk mencipta jaringan dan ketika ketika ketinggalan 0-1 pemain simpanan yang di bawa masuk bagi memburu gol penyamaan gagal memberi persembahan terbaik dan tidak menepati perancangan ditetapkan.
Menurutnya, baki dua perlawanan selepas ini adalah misi hidup mati TRW.
“Walaupun pada awalnya kami tidak menaruh harapan tinggi untuk ke pusingan kalah mati namun berbekalkan lima mata, tidak salah untuk terus berjuang dalam baki dua perlawanan dan tampil sebagai salah satu pasukan ke suku akhir.
“Saya juga berharap pemain yang mengalami kecederaan dan tidak dapat diturunkan malam tadi kembali pulih untuk berdepan MIFA, Jumaat ini dan Cristiano Santos juga akan kembali selepas menamatkan tempoh penggantungan,” kata Yusri.
Ulasan
Catat Ulasan