Yusri akui sukar di Larkin



PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kelantan berdepan misi sukar berhadapan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi pusingan kedua Piala Malaysia Kumpulan C di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin , malam esok.
Ia susulan ketiadaan pemain tonggak pasukan, Cristiano Santos dan Danial Haqim Draman yang terlepas aksi akibat digantung perlawanan apabila mengutip kad merah pada perlawanan lalu selain skuad itu juga tidak menurunkan penjaring terbanyak pasukan, Shafiq Shaharuddin dan Danial Ashraf Abdullah susulan kecederaan.
Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah berkata pasukannya berdepan misi sukar pada perlawanan itu nanti susulan ketiadaan beberapa pemain utama sekaligus tempat mereka bakal digantikan pemain muda.
"Untuk kali ini beberapa pemain seperti Santos, Danial Haqim tidak dibawa susulan pergantunggan perlawanan manakala Shafiq Dan Danial Ashraf juga tak tersenarai akibat kecederaan.
"Bagaimanapun ketiadaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tak mengutip mata cumanya kalau dilihat ia jelas menjadikan misi ini terlalu sukar buat kami.
"Saya melihat dari sudut positif mengenai perkara ini kerana pemain muda yang mendapat peluang nanti sudah tentu akan memanfaatkan permainan mereka dan tidak mensia-siakannya," katanya.

Ulasan