'Tolong maghi stadium deh...'



KELANTAN menyeru penyokong memenuhi stadium keramat pasukan itu, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV bagi menaikkan semangat pemain ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan kumpulan Piala Malaysia, malam esok.
Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah berkata, penyokong setia The Red Warriors (TRW) juga diharapkan tidak mencampur-adukkan isu luar yang terpalit dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebaliknya terus memberi sokongan padu.
“Saya amat berharap kehadiran ramai penyokong malam esok ke stadium untuk meningkatkan semangat kami dan berita luar yang membabitkan KAFA itu biar ia sekadar di luar padang.
“Saya yakin penyokong masih mahu bola sepak Kelantan bangkit oleh itu mereka (penyokong) bantulah kami kerana setiap sokongan mereka amat berguna untuk semua pemain memperoleh semangat berjuang,” katanya.
Pada masa sama, Yusri mengakui berdepan JDT bukan satu tugas mudah ketika pasukan Harimau Selatan itu juga mahukan kedudukan selesa dalam Kumpulan C.
“Memang kami mahu memburu mata kemenangan atau sekurang-kurangnya mata untuk mengejar kedudukan terbaik namun kami kena akui berdepan JDT bukan satu tugas mudah.
“Apa yang perlu saya dan pemain lakukan adalah menggunakan kesempatan bermain pada tahap terbaik di tempat sendiri pada pertemuan malam esok,” katanya.
Kelantan menghuni tangga ketiga Kumpulan C selepas dua perlawanan dengan hanya satu mata.

Ulasan