KERAJAAN Negeri Kedah memberi jaminan tiket perlawanan di Stadium Darul Aman, di Alor Setar akan diedar secara telus tanpa pengaruh politik seperti yang berlaku pada final Piala Malaysia tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sangat terkejut apabila ramai penyokong Hijau Kuning kecewa selepas gagal membeli tiket biarpun kaunter baru dibuka selama sejam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, ramai yang beratur lama kecewa dengan perkara terbabit kerana hanya sedikit sahaja tiket dijual.
“Perkara ini terjadi apabila sebahagian besar tiket terbabit dibedak dalam kalangan orang politik untuk diberi sebagai saguhati kepada penyokong mereka di setiap daerah.
“Ia sangat memalukan, penyokong tegar di anak tiri, cuba bayangkan perasaan kecewanya penyokong tegar Kedah yang dari pelusuk negeri termasuk mereka yang tidak tinggal satu perlawanan pun kerana mahu memberi sokongan padu.
“Penyokong tegar tidak diberi peluang untuk membeli tiket sebaliknya tiket yang berjumlah puluhan ribu itu dibedak sesama orang politik yang sebenarnya depa (mereka) ni bukanlah peminat tegar Hijau Kuning,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada malam Ambang 100 Hari Pakatan Harapan (PH) Kedah di Stadium Suka Menanti hari ini.
Mengulas mengenai pelantikannya sebagai Presiden KFA yang dikatakan melanggar janji manifesto iaitu bola sepak bebas orang politik, Mukhriz tidak meminta untuk memegang jawatan terbabit tetapi ia berlaku atas permintaan ahli gabungan KFA yang mahu Kedah terus unggul dalam arena bola sepak.
“Permintaan untuk saya menerajui semula KFA berdasarkan kejayaan yang cemerlang pasukan ketika saya pertama kali memegang jawatan nombor satu dalam Skuad Helang Merah itu,” katanya.
Mengulas mengenai 10 janji manifesto Kedah, Mukhriz berkata, pihaknya akan tetap melaksanakannya dengan dibantu semua agensi kerajaan kerana sudah menjadi janji kerajaan negeri.
“Berhubung 10 janji yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari di Kedah, ada janji yang dibuat tidak mempunyai maklumat yang cukup dan akses yang diperlukan. Bagaimanapun, sebahagian besar sudahpun ditunaikan dan dalam proses pelaksanaan maka tidak timbul kita tidak tunaikan janji terbabit,” katanya
Ulasan
Catat Ulasan