SEREMBAN: Kpah Sherman dan L’Imam Seydi hampir pasti kekal sebagai gandingan utama MIFA bagi merobek gawang Kedah pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.
Ketua jurulatih K Devan mengesahkan kedua-dua pemain itu cergas untuk diturunkan pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan dan menjadi pencaturan utamanya untuk meraih keputusan positif.
“Tidak banyak perubahan dari segi barisan pemain yang akan diturunkan malam esok kerana semua pemain utama cergas termasuk Seydi yang kembali pulih selepas dia tidak diturunkan pada pertembungan dengan Kelantan, sebelum ini.
“Saya berasa lega kerana harapan kami untuk menurunkan barisan terbaik tampak berjalan lancar dan boleh saya katakan gandingan Sherman dan Seydi antara percaturan utama pasukan.
“Namun, saya sedar cabaran di Alor Setar berbeza dan sengit kerana Kedah sudah pasti akan menurunkan barisan terkuat untuk bangkit meraih kemenangan,” katanya hari ini.
Menurut Devan, mereka difahamkan dua tonggak import skuad Helang Merah iaitu Liridon Krasniqi dan Paulo Rangel akan beraksi pada perlawanan itu nanti dan kehadiran mereka akan mencetus kesukaran buat MIFA terutama bagi pemain pertahanan.
Ulasan
Catat Ulasan