KUALA LUMPUR: Persatuan negeri dan kelab perlu menyalahkan diri sendiri berkaitan isu peminat bola sepak tempatan semakin ‘berat hati’ untuk ke stadium.
Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menegaskan, masalah dalaman yang melanda beberapa pasukan terutama isu tunggakan gaji pemain menjadi antara punca peminat sudah bosan untuk mengikuti perkembangan Liga Malaysia (Liga M).
Justeru, beliau berkata, pasukan perlu memperbaiki segala masalah pentadbiran terlebih dulu sebelum meletakkan kesalahan kepada penyokong.
“Pasukan mempunyai banyak masalah seperti gaji tak bayar dan pendaftaran tak betul. Jadi pasukan kena tingkatkan tahap profesionalisme mereka dengan memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar.
“Sebelum ini, beberapa pasukan berdepan masalah gaji hingga mencecah jutaan ringgit, hutang sana sini. Perkara ini semua memainkan peranan untuk menarik minat penonton.
“Kalau nak salahkan penonton yang hanya tunggu pasukan beraksi dengan bagus baru nak ke stadium, itu memang betul. Cuma masalah sekarang banyak pasukan kurang profesional.
“Jadi, jangan salahkan penonton, betulkan rumah kita sendiri dulu. Kalau bumbung bocor tukar yang baru kerana kalau pasukan diuruskan dengan baik, tiada masalah penonton nak ke stadium,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.
Semalam, Sukan NSTP melaporkan enam daripada lapan gelanggang bagi aksi pembukaan Piala Malaysia hujung minggu lalu mencatat kehadiran yang kritikal iaitu bawah 3,000 orang.
Mengulas lanjut, Serbegeth tidak bersetuju sekiranya jumlah kehadiran penyokong Liga M ke stadium dibandingkan dengan liga luar terutama Liga Perdana Inggeris yang mana stadium mereka sentiasa dipenuhi penonton walaupun membabitkan aksi pasukan bawahan.
“Jangan bandingkan dengan liga luar terutama EPL, budaya dan semangat patriotisme penyokong mereka lain. Malah, ada ke kita dengar kelab di sana berdepan masalah gaji tak bayar seperti yang berlaku di Malaysia?
“Ada juga pasukan yang suka membandingkan dengan bola sepak luar negara, tolong jangan bandingkan kerana kita belum sampai tahap mereka,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan