PENYERANG sensasi Kedah, Paulo Rangel tidak rela membiarkan perasaan penyokong Kedah tertekan dan kini bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik pada pertemuan kedua Kumpulan C, Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.
Kebuntuan gol yang dialami Kedah dalam aksi Piala Malaysia ketika berdepan Kelantan di Stadium Darul Aman pada ahad lalu ternyata mengecewakan penyokong yang mengharapkan keputusan lebih baik, iaitu meraih tiga mata.
Bagi Rangel, dia memahami perasaan penyokong Kedah yang kecewa dan situasi itu memberi tekanan kepadanya serta pasukan lantaran kebuntuan gol pada perlawanan berkenaan.
"Saya kesal kerana tidak dapat membantu Kedah menjaringkan gol serta membantu mendapatkan tiga mata pada perlawanan pertama kumpulan C. Ia memang memberi tekanan kepada diri saya sendiri"
"Namun sebagai pemain saya sentiasa akan mencuba dan terus berusaha sedaya upaya melalui latihan dan persediaan.
"Saya mahu meledak jaringan di Johor dan sebagai rekod, saya sudah mendapatkan lima gol dalam perlawanan sebelum ini dan saya rasa itu satu angka yang baik,” katanya.
Rangel yang pernah bersama JDT pada musim 2015 juga menegaskan akan terus bekerja keras bersama rakan sepasukannya untuk meraih keputusan lebih baik dalam saingan piala berprestij ini.
"Selepas pulang dari Brazil baru baru ini atas urusan keluarga, saya terus fokus kepada latihan setiap hari demi meningkatkan keupayaan diri serta prestasi terbaik bersama pasukan."
Katanya, walaupun saingan sengit dalam kumpulan C bersama JDT, MIFA dan Kelantan, dia tetap yakin Kedah tetap mempunyai peluang untuk mara berdasarkan pengalaman serta rekod selaku finalis Piala Malaysia selama tiga tahun berturut turut.
Ulasan
Catat Ulasan