'Rangel kena garang lagi'


KERESAHAN penyokong Kedah terhadap prestasi penyerang import berpengalaman Paulo Rangel kian meningkat kerana beliau setakat ini dilihat masih belum menunjukkan 'taring' sebenarnya.
Ketajaman Rangel sangat ditagih dengan Kedah ketika ini amat memerlukan tiga mata bagi mencerahkan peluang mereka melayakkan diri ke pentas suku akhir Piala Malaysia daripada Kumpulan C musim ini. 
Presiden Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) Safarizal Mohd Sobri berkata, sebagai kelab penyokong yang setia, mereka ingin meluahkan keresahan terhadap prestasi semasa Rangel yang dilihat setakat ini belum membuktikan dirinya sebagai penyerang sejati seperti yang diharapkan.
“Kita tahu beliau adalah pemain yang berbakat besar dan mampu memberi aksi terbaik namun dari segi prestasi, kami sedikit kecewa dan amat berharap Rangel dapat membuktikan beliau adalah penjaring berbisa berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya dalam Liga Malaysia.
“Kami menuntut beliau mempamerkan aksi sebenar yang lebih berwibawa sebagai peledak utama seperti yang pernah dilakukannya bersama beberapa kelab ternama sebelum ini.
“Ketajamannya di perlukan  bagi membantu Kedah layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini. Kami tidak menidakkan peluang pemain lain untuk tugas menjaringkan gol, tetapi selaku penyerang utama, kami yakin beliau mampu melakukan lebih dari itu.”
Selain itu, Safarizal berkata, situasi Kedah yang memerlukan kemenangan memerlukan usaha semua pemain demi mencari kemenangan yang dinantikan penyokong.
"Bukan saja kudrat Rangel seorang, tetapi kami  juga  berharap semua pemain lain dapat turun dengan semangat juang yang tinggi di laman sendiri dalam pertemuan hidup mati menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 31 Ogos ini.”
Rangel yang menyertai Kedah pada Mei lalu dari  kelab Nakhon Ratchasima bagi menggantikan penyerang Sepanyol, Pablo Pallares sudah meledak lima gol setakat ini.
Selepas mengharungi empat perlawanan di Piala Malaysia, Kedah berada di tangga ketiga dengan mengumpul lima mata susulan satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan.


Ulasan