Pengorbanan Mat Don demi Kedah



TERTEKAN dengan situasi semasa Kedah dalam kempen Piala Malaysia, Liridon Krasniqi menaruh harapan untuk turun beraksi menentang MIFA di Stadium Darul Aman, malam esok sekalipun dia masih dibelenggu kecederaan paha.
Pemain import dari Kosovo berusia 26 tahun itu belum pulih sepenuhnya namun dia sanggup berkorban demi memastikan pasukannya mampu mengorak langkah selepas hanya meraih satu mata daripada dua perlawanan pertama Kumpulan C sekali gus menyaksikan mereka di tangga tercorot kumpulan itu.
“Saya kini dalam proses pemulihan dan masih berasa sakit, namun demi pasukan saya akan mencuba sedaya upaya untuk turun beraksi dan saya harap dapat dipilih bagi perlawanan menentang MIFA.
“Saya sedar penyokong kini amat mengharapkan kemenangan Kedah untuk membuka peluang dalam saingan Piala Malaysia kali ini. Ia membuatkan perasaan saya membuak-buak untuk turun membantu pasukan.
“Sila beritahu penyokong saya sedang berusaha dan akan cuba sebaik mungkin untuk turun beraksi tidak kira sama ada masa penuh atau separuh masa pada perlawanan yang penting ini, namun saya hanya boleh berdoa dan segalanya bergantung kepada keadaan semasa saya pada hari perlawanan,” katanya yang senang disapa Mat Don.
Krasniqi mengalami kecederaan paha ketika Kedah menewaskan PKNS 2-0 pada aksi Liga Super, 26 Jun lalu dan selepas pulang ke Munich untuk menjalani rawatan dan rehat bulan lalu, dia kini beransur pulih.

Ulasan