“Pemain Datang Bukan Kerana Wang, Tetapi Kerana JDT Adalah Kelab Bola Sepak Profesional” - TMJ

Dalam satu muat naik di laman media sosial JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menegur pihak-pihak yang sentiasa menyalahkan JDT akibat kegagalan pengurusan sendiri.


JDT sebabkan pasukan lain bermasalah tidak tepat
TMJ menyifatkan masalah kewangan yang dialami oleh pasukan-pasukan di Liga Malaysia adalah kerana sikap tidak bertanggungjawab pihak pengurusan itu sendiri.
Oleh kerana itu, baginda hairan bagaimana dakwaan JDT telah membeli pemain dengan harga yang mahal menjadi punca pasukan lain perlu melakukan perkara yang sama untuk bersaing.
Bagi baginda, kenyataan tersebut adalah tidak tepat. Walaupun JDT adalah sebuah kelab yang besar, mereka tetap menjaga perbelanjaan mengikut kemampuan.
Struktur gaji di JDT
Mengambil contoh beberapa pemain yang kini menyarung jersi skuad Harimau Selatan itu, TMJ mendedahkan jumlah gaji sebenar yang dibayar kepada pemain di bawah naungan mereka.
“Contohnya, ketika kami menandatangani Haziq Nadzli (penjaga gol Malaysia) beliau menerima gaji hanya RM11,000. Safawi Rasid pula, penjaring terbanyak kami untuk musim ini yang juga merupakan pemain muda bernilai hanya menerima gaji sebanyak RM12,000. Syamel Kutty, RM14,000 dan Dominic Tan, RM 15,000,” ujar TMJ dalam kenyataan tersebut.

(Photo credit should read KAMARUL AKHIR/AFP/GettyImages)
Demi kestabilan kewangan, TMJ turut mendedahkan JDT melepaskan beberapa nama besar seperti Safee Sali, Nazrin Nawi, Chanturu dan Gopinathan.
TMJ turut memberi jaminan jumlah gaji yang dibayar kepada pemain lain di dalam skuad JDT dibayar dengan nilai yang munasabah.
Salah sendiri
TMJ kemudiaanya mengambil contoh beberapa pemain tempatan yang dibayar dengan gaji lebih tinggi bersama pasukan lain.
Seperti contoh, Indra Putra Mayuddin dibayar sehingga RM70 ribu dan Nor Shahrul Idlan Thalaha dibayar sehingga RM100 ribu semasa bermain dengan pasukan ATM.

Antara keratan akbar mengenai masalah tunggakan gaji pemain Liga M.
Oleh kerana itu, TMJ berpendapat kegagalan menjelaskan gaji pemain dan masalah kewangan yang dialami oleh pasukan lain adalah kerana kesilapan sendiri dan tidak wajar dikaitkan dengan JDT.
Mengapa pemain cenderung pilih JDT
Dalam kenyataan tersebut, TMJ turut menjelaskan sebab utama pemain-pemain tempatan cenderung untuk memilih JDT untuk meneruskan karier masing-masing.
Mengambil contoh Safawi Rasid yang ditawarkan jumlah tawaran yang lebih tinggi dari apa yang ditawarkan JDT, TMJ menjelaskan beberapa faktor lain seperti fasiliti yang dibangunkan oleh JDT sebagai salah satu sebab utama.

Sumber: JST, Facebook

“Kenapa? Kerana ini adalah sebuah kelab bola sepak. Anda tahu apabila anda bermain untuk JDT, anda akan ada fasiliti yang terbaik, jurulatih yang bagus, anda dikelilingi oleh pemain yang terbaik dan anda bermain di peringkat antarabangsa seperti Piala AFC,” titah baginda dalam kenyataan tersebut.
TMJ turut mengesahkan pemain-pemain di bawah naungan JDT akan dibayar bonus jika memperolehi keputusan yang positif.
Penutup
Pendedahan oleh TMJ ini membuktikan pemain menyertai JDT kerana ingin beraksi untuk sebuah kelab bola sepak profesional.
Dan dakwaan pemain-pemain datang hanya kerana mengejar kemewahan semata-mata adalah tidak munasabah.

Ulasan