Langkau ke kandungan utama

Nidzam akui Kedah nasib baik

PEMAIN Kedah, Sandro Da Silva (dua dari kanan) membuat percubaan ke gawang Kelantan dalam perlawanan
PEMAIN Kedah, Sandro Da Silva (dua dari kanan) membuat percubaan ke gawang Kelantan dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin yang berkesudahan seri tanpa jaringan. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
ALOR SETAR 6 Ogos - Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan skuad bimbingannya bernasib baik tidak dihukum dengan kekalahan walaupun berkali-kali melakukan kesilapan dalam perlawanan menentang Kelantan malam tadi.
Beliau berkata, skuad Lang Me­rah itu juga gagal mencipta gol dalam perlawanan pertama Kumpulan C kempen Piala Malaysia apabila tidak berjaya melakukan penyudah dengan baik meski pun peluang terhidang di hadapan mata.
“Secara keseluruhan kami me­nguasai permainan dengan mencipta banyak peluang... se­patutnya digunakan sebaiknya dalam mencari gol.
“Kami juga bernasib baik kerana tidak dihukum atas kesilapan sendiri dan rugi tidak mendapat tiga mata di tempat sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Darul Aman itu.
Kedah gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila sekadar seri 0-0 dengan Kelantan dan peluang untuk Lang Merah bangkit adalah dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim di Larkin nanti.
“Andik (Vermansah) dan Paulo Rangel belum 100 peratus cergas kerana baru sahaja pulih tetapi dalam perlawanan kedua mereka akan menyumbang lebih berbanding malam ini.
“Sudah tentu kita membuat persiapan agar tidak tewas di Larkin dan kita cuba mencuri mata sebanyak mana yang boleh,” jelas Mohd. Nidzam.
Dalam pada itu, pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah memuji barisan pertahanannya yang berjaya mengekang pasukan tuan rumah daripada mendapat gol.
“Saya perlu berterima kasih kepada pemain pertahanan yang mengikut perancangan hingga berjaya menghalang Kedah daripada menjaringkan gol. Kehadiran Mohd. Farisham Ismail juga amat membantu dalam membimbing pemain muda,” katanya.

Ulasan