Langkau ke kandungan utama

Mujur tidak kalah teruk

PEMAIN Kelantan Mohamad Shahrul Nizam meloloskan diri daripada pemain JDT, Ignacio Insa Bohigues pad

PEMAIN Kelantan Mohamad Shahrul Nizam meloloskan diri daripada pemain JDT, Ignacio Insa Bohigues pada aksi Piala Malaysia menentang pasukan Kelantan pada peringkat Kumpulan C di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos Larkin, Johor, semalam. – BERNAMA

JOHOR BAHRU 26 Ogos – Walaupun gagal pulang bersama mata di Larkin, namun Kelantan tetap menarik nafas lega kerana hanya kalah tipis 0-1 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam.
Kekalahan itu menyebabkan The Red Warriors (TRW) menghuni tangga ketiga Kumpulan C di belakang JDT dan MISC-MIFA selepas mengharungi empat perlawanan de­ngan satu kemenangan, satu seri serta dua kekalahan.
Kelantan sudah diselubungi kebimbangan sebelum bertandang ke Larkin kerana hilang khidmat lima tonggak - Cristiano Marcolino Santos, Shafiq Shaharudin, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Haqim Draman dan Azwan Ariffin akibat penggantungan serta kecederaan.
“Mujurlah hanya tewas dengan jaringan tipis kerana Stadium Tan Sri Hassan Yunus adalah kubu kuat JDT dan kami pula bergantung kepada sebahagian besar pemain muda.
“Kami beraksi tanpa lima tonggak kerana penggantungan dan kecede­raan, namun pemain yang diturun­kan tetap konsis­ten.
“Walaupun tewas, saya ber­puas hati dengan komitmen pemain yang mengikut arahan taktikal, malah mereka nampak sangat bermotivasi apabila mengimbangi JDT pada babak pertama,” kata Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah.
Gol kemena­ngan JDT dihasilkan Fernando Marquez pada minit-65, sekali gus membalas dendam atas kekalahan 0-1 kepada Kelantan dalam aksi pertama di Kota Bharu pada 17 Ogos lalu.

Ulasan