ALOR SETAR: Kedah bakal berdepan misi 'hidup mati' apabila hanya kemenangan keatas MIFA saja mampu terus membuka peluang buat skuad Lang Merah itu dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam esok.
Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Aziz berkata, selepas skuad Lang Merah gagal mendapat kemenangan dalam dua aksi awal, Kedah perlu bangkit mencipta kemenangan keatas MIFA jika mahu menghidupkan peluang untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini.
"Berbekalkan hanya satu mata, kita tiada pilihan lain sekarang ini kecuali mengutip tiga mata dengan kelebihan beraksi di laman sendiri. Jika ini terhasil, kita masih berpeluang pada saingan kali ini. Ini perlawanan ‘hidup mati’.
"Perkara penting yang harus kita tingkatkan adalah ketajaman jentera serangan dan pada masa yang sama kita perlu mencipta lebih banyak peluang untuk mendapatkan gol yang mana ini adalah sasaran yang realistik untuk mencipta kemenangan."
"Pemain harus bangkit mencari formula kemenangan dalam saingan kali ini berdasarkan peluang yang masih terbuka walaupun berdepan situasi dan cabaran yang getir selepas sekadar mengumpul satu mata dalam dua perlawanan awal.
Ditanya mengenai kredibiliti pasukan lawan yang berjaya menundukkan juara Liga Super musim ini iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 dan juga Kelantan 2-0 sebelum ini, Azzmi mengakui tahap keyakinan mereka semakin meningkat dan Kedah sebagai tuan rumah harus lebih berhati hati dengan keupayaan semasa lawan.
"Pengendali MIFA, K Devan merupakan jurulatih yang sangat berpengalaman dalam Liga Malaysia dan kita tahu beliau seorang jurulatih yang memahami kekuatan pihak lawan dalam persediaan yang dilakukannya."
"Jadi itu kelebihan yang ada pada MIFA selain ketajaman penyerang importnya. Mereka sudah ada enam mata setakat ini dan masih belum beraksi di laman sendiri. Mungkin mereka perlu seri sahaja bila datang ke sini dan itu yang kita boleh gambarkan, namun kita tidak pasti adakah itu perancangan yang mungkin berlaku atau sebaliknya."
Berkaitan keadaan semasa pemain Kedah pula, Azzmi berkata motivasi serta semangat pemain kini tetap nampak masih positif dan mereka sedar peluang masih ada dan belum tertutup.
"Mereka tekad mahu menghidupkan peluang itu kerana kebanyakan mereka sudah memiliki pengalaman selama tiga tahun beraksi di pentas final Piala Malaysia dan faktor ini menunjukkan mereka ingin mengulangi kejayaan yang sama pada musim ini dengan penuh bersemangat." katanya.
Ulasan
Catat Ulasan