MIFA yakin mampu sekat JDT

SEREMBAN: Kapten MIFA, S Subramaniam bersikap optimis betapa dia dan rakan sepasukan berupaya memberikan tentangan sengit kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi pembuka tirai saingan Kumpulan C Piala Malaysia, di Stadium Larkin, esok.
Biarpun sedar ia pengalaman pertama buat mereka berdepan pasukan terhebat Liga Malaysia itu, namun pemain MIFA sudah sedia dari segi mental dan fizikal, untuk memperagakan persembahan terbaik.


"Semua pemain sudah sedia untuk turun di Larkin esok dan akan memastikan kami dapat memperagakan satu persembahan terbaik bagi menyaingi kehebatan juara bertahan Piala Malaysia dan juara Liga Super itu.
"Walaupun sedar bukan mudah untuk kami menafikan kehebatan JDT apa tah lagi beraksi di kubu kuat mereka, tapi kami juga ada pendekatan tersendiri dalam menghadapi situasi itu.
"Saya yakin dan percaya, kami mampu memberikan tentangan dan berharap apa yang kami rancangkan bersama ketua jurulatih, K Devan, akan membuahkan hasil untuk sekurang-kurangnya membawa pulang dengan satu mata," katanya hari ini.
Tonggak pertahanan itu berkata, tiada istilah gemuruh buat mereka untuk berdepan skuad bimbingan Raul Longhi itu, sebaliknya yakin mampu menghadapinya dengan semangat dan kekuatan baharu hasil kejayaan yang dicapai dalam Liga Perdana musim ini.
Menurutnya, mereka sudah membuat persiapan 100 peratus sebaik mengesahkan tempat layak ke Piala Malaysia musim ini dan mahu meneruskan perjuangan bagi melonjakkan lagi nama pasukan.
"Memang lebih separuh daripada kalangan pemain pasukan ini belum pernah beraksi dalam saingan Piala Malaysia sebelum ini, tetapi ianya bukan suatu halangan untuk kami menunjukkan persembahan terbaik.
"Kami amat teruja untuk berdepan JDT dan akan menjadikan perlawanan itu nanti sebagai pendedahan berharga. Kejayaan menamatkan tempat ketiga Liga Perdana memberikan keyakinan buat semua pemain untuk mencipta kejutan dan yakin ianya bukan suatu yang mustahil," katanya.
Mengenai corak persembahan yang akan dipersembahkan nanti, Subramaniam akui mereka perlu mengukuhkan benteng bagi mengimbangi kekuatan jentera serangan skuad Harimau Selatan, selain perlu pantas memanfaatkan setiap peluang serangan balas.
"Saya percaya dengan perancangan dilakukan barisan jurulatih dan yakin dengan keupayaan mereka dalam merangka strategi terbaik untuk mendapatkan keputusan positif.
"Apa yang penting pemain perlu mengikuti arahan dengan baik serta berusaha menterjemahkannya setiap perancangan itu dengan sempurna sepanjang tempoh 90 minit permainan," katanya.

Ulasan