SEREMBAN: Selepas meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia setakat ini, barisan pemain MIFA semakin bernafsu untuk mengekalkan momentum itu pada aksi seterusnya.
Kapten MIFA, S Subramaniam berkata, walaupun cabaran pada perlawanan selepas ini mencabar dan sukar diduga, tetapi mereka yakin kejayaan yang dicapai setakat ini akan dapat membantu pengurusan pasukan dan pemain merangka strategi lebih baik untuk memburu kemenangan berikutnya.
“Memang kemenangan yang dicapai dalam dua perlawanan awal ini tidak dijangka kerana kami sedar akan kebolehan kami yang kurang pengalaman berbanding tiga lagi pencabar dalam Kumpulan C yang lebih berpengalaman termasuk berstatus juara bertahan.
“Tetapi kami bekerja keras untuk mengimbangi kekuatan lawan dan hasilnya berjaya mendapatkan kemenangan. Ia bukan sahaja memberi impak positif terhadap kekuatan dan pasukan, malah membuka peluang kepada kami untuk mengintai pencapaian yang baik dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Namun, kami tidak boleh terlalu cepat berasa selesa sebaliknya perlu terus bekerja keras meningkatkan lagi tahap permainan jika mahu meneruskan rentak kemenangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
MIFA yang tampil selaku pasukan yang menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ketiga kini mengungguli carta Kumpulan C dengan enam mata diikuti juara bertahan, Johor Darul Ta[zim (JDT) di tangga kedua dengan tiga mata.
Subramaniam bagaimanapun yakin sasaran mereka untuk sekurang-kurangnya layak ke suku akhir pada penyertaan sulung boleh direalisasikan, walaupun sedar tugas itu bukan mudah dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Bekas pemain Kelantan yang beraksi di posisi pertahanan itu berkata, mereka perlu bersedia berdepan tugas lebih berat selepas ini kerana setiap pasukan tidak mahu tercicir mata dan mereka akan berusaha mendapatkan kemenangan untuk mencapai kedudukan baik dalam carta.
“Kami akan bertemu Kedah di gelanggang lawan, Sabtu ini dan ia dijangka perlawanan yang sukar. Kami perlu membuat persiapan lebih rapi kerana Kedah dilihat begitu kebal di Stadium Darul Aman.
“Justeru, kami perlu menggunakan tempoh empat hari latihan sebelum perlawanan itu dengan sebaik mungkin untuk memantapkan lagi kekuatan pasukan.
“Saya yakin perancangan terbaik ketua jurulatih (K Devan) akan membolehkan pasukan dapat meneruskan prestasi cemerlang dengan kejayaan mengatasi Kedah dan seterusnya mengekalkan kedudukan dalam kumpulan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan