KUALA LUMPUR: Biarpun menjadi pasukan pertama dalam Kumpulan C berjaya menewaskan MIFA, Kedah tetap perlu berhati-hati apabila berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam esok.
Ia susulan jurulatih MIFA, K Devan mengakui anak buahnya sudah mengetahui kekuatan skuad Helang Merah berdasarkan aksi pusingan pertama peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada 18 Ogos lalu.
Justeru, beliau menegaskan pasukannya sudah melakukan persiapan rapi dan bakal tampil dengan persembahan lebih baik di gelanggang sendiri.
"Kami perlu lebih fokus kepada pertahanan kerana kami mempunyai peluang yang baik untuk menewaskan Kedah di gelanggang mereka apabila mendahului 1-0," kata Devan.
"Tapi kami buat kesilapan yang menyaksikan mereka menyamakan kedudukan. Begitu juga ketika kami kembali mendahului 2-1, kami sekali lagi lakukan kesilapan hingga Kedah berjaya bangkit meraih kemenangan.
"Jadi kami perlu fokus 100 peratus dan jika kami mampu beraksi lebih baik, tidak mustahil tiga mata dapat diraih. Apa yang penting kami mahu layak ke suku akhir."
MIFA yang dilabel sebagai pasukan kerdil melakar keputusan diluar jangkaan dalam Piala Malaysia apabila mengejutkan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 di Larkin, sebelum menundukkan Kelantan 2-0 untuk berada di kedudukan teratas kumpulan dengan enam mata.
Kemenangan ke atas Kedah malam esok bakal membuka peluang lebih luas buat MIFA ke suku akhir sebelum mengharungi dua baki perlawanan berdepan Kelantan pada Jumaat ini dan JDT (16 September).
Ulasan
Catat Ulasan