MIFA sedia ramuan perangkap JDT


KETUA jurulatih MIFA, K Devan bersama anak buah ketika sesi latihan menjelang perlawanan pertama Piala Malaysia menentang JDT di Stadium USIM, Nilai. - Foto ADZLAN SIDEK
NILAI: MIFA sudah mempunyai resepi tersendiri dalam usaha memberikan saingan dan mencatat keputusan terbaik ketika turun menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) pada aksi pembuka tirai saingan Kumpulan C Piala Malaysia, di Stadium Larkin Ahad ini.
Ketua jurulatihnya K Devan berkata, pihaknya sudah membuat `kerja rumah' menjelang perlawanan itu untuk memastikan anak buahnya tidak lemas dalam perjuangan di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan itu nanti.
"Kita ada resepi tersendiri dalam usaha memberikan saingan sengit kepada JDT. Walaupun kita tahu akan reputasi JDT tetapi ia tidak akan menghadirkan rasa gementar buat pemain MIFA untuk berdepan pasukan itu," kata Devan ketika ditemui di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, petang ini.
"Malah semua pemain dilihat begitu bersemangat untuk menggalas cabaran pasukan dan bertekad untuk melakukan kejutan ke atas pasukan juara bertahan serta juara Liga Super musim ini.
"Kami akan tetap mengamalkan permainan seperti biasa namun tidak menolak akan memberikan penekanan kepada corak bertahan. Kita tahu tahap keupayaan setiap pemain JDT tapi kita ada pendekatan tersendiri dalam usaha memastikan pasukan dapat tampil dengan kekuatan yang baik."
MIFA yang akan tampil selaku pasukan tangga ketiga saingan Liga Perdana musim ini, diletakkan dalam Kumpulan C yang turut menampilkan Kedah dan Kelantan.
Devan jelas berpuas hati dengan persiapan diadakan menjelang pertemuan sulung itu kerana semua pemain utama skuad bimbingannya akan dapat diturunkan sekali gus memberikan keyakinan yang tinggi untuknya melihat kekuatan sebenar pasukan itu berdepan anak buah Raul Longhi.
"Segala aspek sudah diambil kira dan saya yakin semua pemain berada pada tahap prestasi terbaik untuk menggalas cabaran. Apabila bertemu dengan pasukan yang lebih baik sudah tentu pemain saya akan tunjukkan prestasi yang lebih baik.
"Selain memburu pencapaian terbaik pada penyertaan sulung, ini juga adalah peluang terbaik buat pemain membuktikan prestasi mereka bagi persiapan musim depan," kata bekas pengendali Negeri Sembilan itu yang mahu membawa MIFA sehingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini selepas berjaya membawa skuad terbabit menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ketiga.

Ulasan