SEREMBAN: Mengakui kejayaan menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu bermakna, MIFA mahu meneruskan persembahan baik itu apabila turun menentang Kelantan dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Jumaat ini.
Ketua jurulatih K Devan berkata, mereka sedang merangka strategi terbaik dalam usaha memastikan kelebihan beraksi di tempat sendiri itu dapat digunakan sebaik mungkin bagi meraih kemenangan.
“Kami perlu menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri sebaik mungkin dan saya harap pemain dapat tunjukkan persembahan lebih baik berbanding ketika menentang JDT.
“Di atas kertas sememangnya Kelantan lebih baik kerana mereka menampilkan ramai pemain muda yang pantas menyambar peluang. Kejayaan Kelantan mengikat Kedah tanpa jaringan membuktikan kekuatan sebenar mereka.
“Saya harap pemain kami sentiasa berwaspada dan kekal fokus sepanjang permainan dengan memastikan tidak melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh menjejaskan perancangan pasukan,” katanya, hari ini.
MIFA mencetus kejutan pertama Piala Malaysia musim ini apabila menundukkan juara bertahan JDT 2-1 di Larkin, Ahad lalu.
Ulasan
Catat Ulasan