Liat tumpaskan Kelantan


PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora mengaku berdepan kesukaran untuk menewaskan Kelantan yang mengamal corak permainan bertahan pada aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Mexico itu lega dengan kemenangan yang diraih itu bagi memastikan perjuangan memburu slot ke pusingan kalah mati kembali terbuka selepas mengumpul enam mata hasil daripada dua kemenangan.
Malah, beliau menegaskan pasukan bimbingan Yusri Chel Lah itu sukar untuk dijinakkan kerana dibarisi pemain muda yang jelas memperagakan kesungguhan di sepanjang 90 minit dan kerap menidakkan percubaan anak buahnya.
“Pemain lawan sentiasa bergerak dan mengekori pemain kami dan kerap memberi tekanan sehingga menyukarkan kami untuk melancarkan serangan yang lebih tersusun malah mereka bertungkus lumus menghalang percubaan kami.
“Kami mengawal permainan dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol apabila Fernando Elizari hampir mencipta gol selain Fernando Marquez ada dua peluang lain malah Corbin Ong turut berpeluang tetapi nasib tidak menyebelahi kami.
“Anda sendiri lihat pemain Kelantan hanya bertahan dan kami perlu melepasi dua lapisan iaitu tengah dan pertahanan. Situasi itu jelas menyukarkan kami dan terpaksa tunggu sehingga minit ke-65 untuk menjaringkan gol,” katanya.
Ditanya mengenai kegagalan JDT melakukan penyudah menerusi `set piece' terutama sepakan sudut, Mora menegaskan ia tetap akan berulang memandang benteng pertahanan lawan tidak akan memberi ruang yang bebas untuk pemainnya bergerak.
Mengulas mengenai corak permainan Gary Steven Robbat, Mora jelas berpuas hati dengan komitmen pemain itu yang berjaya menyekat barisan pemain tengah Kelantan.
“Dia tidak kekok bergandingan bersama Natxo Insa. Kini kami ada dua lagi perlawanan di tempat lawan dan misi seterusnya adalah memburu kemenangan namun kami perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan taktikal pasukan lawan yang lebih agresif apabila beraksi di laman mereka sendiri,” kata Mora.

Ulasan