LARKIN MANIFESTASI CITA-CITA BANGSA JOHOR
Perasaan sedih, keliru dan gusar jadi berpintal, akibat degup jantung laju menjadi abnormal. Bercampur baur dalam sistem kardiovaskular. Bila jatuhnya tembok kira detik operasional.
Beberapa minggu ini, bermacam-macam perkara telah terjadi, kadang-kadang terasa macam mimpi, tapi terasa sakit bila dicubit pipi kanan dan kiri. Kepincangan dan goyah sesama kita adalah realiti, ditambah pula diuji dengan beberapa kekalahan yang terjadi, kejutan yang boleh kita termenung bila sendiri.
"Roh dalam tubuh"
Penyokong diibaratkan sebagai sebagai roh di dalam pasukan. Tanpa roh, pasukan ini tidak berjaya dalam setiap tindakan. Suara penyokong umpama ngauman yang buat pasukan bertandang intimidasi, yang pasti menjadi pendorong mereka mengangkat panji kapitulasi.
Rindu? Ya rindu!
Di ketika dan saat ini,
Tunku amat merindui ketika detik kewujudan pasukan ini pada tahun dua ribu tiga belas, bagaimana setiap sudut di stadium ini kita penuhi dengan ikhlas. Kita sama-sama bangkit apabila kita ditewaskan, kita sama-sama raikan bila kita mencapai sesuatu kemenangan.
"Kenangan yang indah"
Tunku pasti tidak akan lupa dan teringat sentiasa, ketika putaran mafla oleh kita menghasilkan satu aura yang sangat luar biasa! mampu mendirikan bulu roma pasukan lawan yang menyaksi, hingga destruktif keyakinan diri untuk mereka beraksi, hingga hilang fokus konsentrasi sembilan puluh minit dalam konkurensi.
Ketika itu, stadium ini tetap tidak sunyi dengan sokongan, Nyanyian penguat semangat tidak henti bergema kita laungkan.
Maka,
Kita harus bersama kembalikan segala yang hilang, semangat itu harus kita seru segera kembali pulang!
"Ayuh kembalikan semangat itu"
Perlawanan bertemu Kelantan yang hanya berbaki beberapa hari, kita jadikan hari itu sebagai hari kita perbaiki diri sendiri, perlawanan ini bukan sahaja untuk mempertahankan maruah diri, tetapi hari autopsi semangat kita masihkah ada dalam diri? semoga menjadi saksi medan permuafakatan kita sebagai penyokong yang tiada prejudis. Segala kekalahan terdahulu tidak kita terus jadikan kudis.
Semoga hari itu dijadikan penentu, indikator korektif untuk kita bersatu, Di stadium ini kita bina semula semangat yang telah hilang. Di stadium ini kita perbaiki semula hubungan yang renggang. Kembalikan semula gema suara ngauman Harimau Selatan. Kibarkan semula mafla-mafla sekata ditangan. Kita laungkan dan lontarkan suara dengan nyanyian penguat semangat untuk Harimau Selatan, semoga tiga bintang di logo kebanggaan kembali berpimpin tangan.
Kita tunjukkan kepada seluruh Malaya, bahawa kita bukan seperti yang dihebahkan di alam maya, Stadium Larkin adalah kota ngeri yang boleh buat mereka paranoia, Sokongan padu kita mampu membuat pasukan lawan jadi insomnia, muafakat kita umpama penambah tonik tenaga yang optimalisasi, menjadi penjana energi pemain Harimau Selatan untuk meningkatkan prestasi.
Yang pasti ini adalah cerita benar terjadi bukan mimpi ngeri, bukan seperti drama cinta dusta setiap menjelang senja hari. Kerana dahulu ianya benar telah terbukti, bukan hanya bercakap dengan sesuka hati.
Akhir kalam,
Kurang dari dua belas bulan kita bakal meninggalkan Stadium Larkin apabila stadium baharu, Stadium Sultan Ibrahim siap sepenuhnya pada Mei dua ribu sembilan belas dalam jangkaan. Stadium ini perlu ditinggalkan bersama indahnya memori dan manisnya kenangan, bersama-sama kita penuhkan stadium ini dalam baki beberapa perlawanan, jangan biarkan stadium ini tidak berseri hilang kilauan.
Sedarlah,
Akhirnya stadium ini bukan sekadar saksi kejayaan kebangkitan Harimau Selatan, sebagai kuasa bola sepak tanah air, tetapi menjadi tempat lahir perpaduan dan kesepakatan kita sebagai Bangsa Jauhar yang tidak akan berakhir!
"Peranan pemain ke-12 adalah untuk sentiasa bersama pasukan ketika pasukan lemah. Saya berharap ramai penyokong JDT akan ke stadium pada setiap perlawanan. Anda mahukan pasukan yang kuat, kami telah mencipta sejarah setiap tahun dan telah berbelanja berjuta-juta ringgit. Inilah masanya untuk berikan kembali sesuatu kepada kelab. Dan ia adalah sokongan anda semua." - DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Merah itu darahmu, Biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan