Lang Merah 'mangkit' benam MIFA


SEMANGAT kebangkitan pemain Kedah berjaya menghasilkan kemenangan 3-2 ke atas MIFA dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam tadi.
Pemangku ketua jurulatih Azzmi Ab Aziz berkata, beliau bersyukur Kedah mampu kembali bangkit mencipta kemenangan yang dinanti-nantikan penyokong selepas gagal berbuat demikian dalam tujuh perlawanan sebelum ini.
"Saya harus memberi pujian untuk semua pemain yang beraksi dengan baik secara berpasukan dan menunjukkan semangat kebangkitan malam ini. Kerja keras serta persiapan sebelum perlawanan berjaya menampakkan hasil yang baik.
"Kita sangat terdesak untuk mendapatkan kemenangan dan bersyukur atas kemenangan ini,” katanya.



Azzmi juga berharap pemainnya akan terus positif dan dapat mengekalkan momentum kemenangan bagi menghadapi perlawanan seterusnya yang dianggap lebih mencabar.
"Walaupun kita ada sedikit isu sebelum ini, saya bersyukur kerana perkara ini dapat diselesaikan. Saya kena berusaha sebaik mungkin untuk terus meningkatkan prestasi Kedah."
Mengenai perancangan seterusnya dalam Kumpulan C yang dilihat kembali terbuka, Azzmi berkata Kedah akan meneruskan rentak kemenangan ini dan akan memberi fokus seterusnya apabila bertandang ke tempat lawan bertemu MIFA sekali lagi pada 26 Ogos ini.
"Kita kena berusaha keras dalam baki empat perlawanan ini dan tak boleh bergantung kepada kekalahan pasukan lain,” katanya.

Ulasan