Langkau ke kandungan utama

KFA rehatkan Nidzam Adzha

Mohd. Nidzam Adzha Yusoff

MOHD. Nidzam Adzha Yusoff. - UTUSAN ONLINE

ALOR SETAR 17 Ogos - Akhirnya pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) merehatkan Ketua Jurulatih Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff ekoran prestasi pasukan Lang Merah yang tidak memberangsangkan dalam saingan liga musim ini.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris berkata, keputusan itu dibuat hasil satu mesyuarat pengurusannya petang tadi.
Katanya, Penolong Ketua Jurulatihnya, Azzmi Aziz akan memangku jawatan tersebut sehingga tamat saingan Unifi Piala Malaysia.
“Beliau (Nidzam) akan diberikan beberapa tugasan lain sehinggalah kontrak tamat.
“Pihak pengurusan merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih buat Nidzam Adzha di atas sumbangan khidmat dalam menerajui pasukan menjuarai Piala FA dan Naib Johan Piala Malaysia pada musim 2017,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nidzam Adzha dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan Lang Merah pada April lepas setelah pengendali dari Sepanyol, Ramon Marcote direhatkan KFA juga ekoran prestasi merudum Lang Merah ketika itu.
Sepanjang kempen Piala Malaysia ini, Lang Merah Kedah masih gagal mempamerkan aksi cemerlang apabila sekadar seri 0-0 dengan Kelantan seterusnya teruk dibelasah Johor Darul Ta’zim 5-1.
Dengan perkembangan terkini itu, tumpuan peminat Lang Merah kini pasti terarah kepada perlawanan malam esok yang menyaksikan pasukan itu bertemu dengan MIFA di gelanggang sendiri. - UTUSAN ONLINE

Ulasan