ALOR SETAR: Keputusan 'merehatkan' pengendali pasukan bola sepak Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof terpaksa dibuat setelah melihat prestasi yang kurang memberangsangkan ditampilkan skuad itu kebelakangan ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, dalam mesyuarat khas KFA pucuk pimpinan sudah memutuskan beberapa perkara termasuk 'merehatkan' Nidzam.
"Dalam mesyuarat berkenaan, beliau (Nidzam) sendiri berasa bahawa sudah tiba masanya untuk mengundur diri daripada jawatan itu,” kata Mukhriz.
"Lazimnya seseorang jurulatih yang bertanggungjawab itu akan mengambil tanggungjawab dengan mengundur diri apabila merasakan bahawa prestasi pasukan sudah tidak lagi cemerlang.
"Dalam hal ini juga prestasi Kedah dalam lima atau enam perlawanan sebelum ini dilihat tidak konsisten."
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lembu Korban di Dewan Seri Mentaloon, di sini, hari ini.
Katanya, selaras dengan itu juga pihaknya akan cuba mencari seorang jurulatih baharu yang dilihat mampu membawa Kedah ke puncak prestasi.
"Kita akan memilih jurulatih baru menerusi satu proses terbuka dalam memberi peluang kepada semua jurulatih yang mampu mengembalikan semula prestasi Kedah ke peringkat tinggi.
"Malah, berdasarkan risikan awal banyak jurulatih dalam dan luar negara menunjukkan minat untuk melatih Kedah," katanya.
Beliau turut mengulas prestasi Kedah yang dilihat suram ketika ini dan menyifatkan perkara berkenaan adalah biasa pada setiap musim namun kali ini ia memberi kesan kepada pasukan.
"Kemerosotan prestasi ini berlaku apabila banyak pemain cemerlang dalam skuad ini dipanggil untuk tugasan mewakili negara.
"Perkembangan berkenaan menyebabkan pasukan kita tidak cukup pemain yang mampu menjadi tunjang pasukan untuk mencipta kemenangan," katanya.
Pada masa sama, Mukhriz tetap memuji pasukan negara yang berjaya menundukkan Korea Selatan dengan jaringan 2-1 dalam saingan Sukan Asia semalam.
"Ini menunjukkan bahawa pemain kita mempunyai daya juang yang tinggi untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Malah menewaskan Korea Selatan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi pasukan itu baru sahaja selesai tugasan di Piala Dunia selain mempunyai ranking yang tinggi dari Malaysia," katanya.
Dalam saingan Sukan Asia di Jakarta-Palembang, empat pemain skuad Hijau Kuning iaitu Baddrol Bakhtiar, Ifwat Akmal Che Hashim, Rizal Ghazali dan Akhyar Rashid terpilih menyarung jersi negara.
Ulasan
Catat Ulasan