KEDAH perlu mengelak melakukan kesilapan jika mahu terus memburu peluang mendapatkan tiga mata ketika perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok.
Penolong ketua jurulatih Kedah Azzmi Ab Aziz berkata, sebarang kesilapan bakal 'memakan diri’ kerana aksi di Darul Aman itu satu-satunya peluang terbaik untuk Kedah melayakkan diri dengan kemenangan ke atas juara Liga Super itu.
“Kita perlu terus beri komitmen tinggi seperti pernah dipamerkan sebelum ini dan elak melakukan kesilapan.
“Saingan kini kembali terbuka dan jurang mata antara pasukan juga tidak jauh, tapi impian untuk melangkah ke suku akhir bukan mudah.
“Kami harap pemain akan beraksi sebaik mungkin dan tingkatkan keyakinan ketika bertemu JDT,” katanya.
Azzmi turut lega dengan kepulangan empat tonggak Kedah – Ifwat Akmal Chek Kassim, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Akhyar Rashid – yang baru tamat tugasan mewakili skuad bawah 23 (B-23) negara pada temasya Sukan Asia di Indonesia, baru-baru ini.
"Kehadiran semula mereka akan memperkukuhkan lagi pasukan dan membangkitkan semangat untuk pemain lain. Sebagai jurulatih saya berharap mereka bersedia dengan prestasi terbaik."
Ulasan
Catat Ulasan