Langkau ke kandungan utama

Kelantan tempang jumpa JDT

KELANTAN kehilangan lima tonggak apabila berdepan JDT dalam perlawanan
KELANTAN kehilangan lima tonggak apabila berdepan JDT dalam perlawanan Piala Malaysia di Larkin, esok. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
KOTA BHARU 24 Ogos - Kelantan kehilangan lima pemain tonggak bagi aksi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin esok.
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah berkata, lima pemain itu ialah penyerang import Cristiano Marcolino Santos, Shafiq Shaharudin, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Haqim Draman dan Azwan Ariffin.
“Cristiano Santos dan Muhammad Danial Haqim dilayangkan kad merah ketika menentang JDT pada perlawanan lepas, manakala tiga pemain lain mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada perlawanan lepas di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan menewaskan JDT 1-0 sekaligus menyaksikan pasukan itu berada di kedudukan kedua selepas tiga perlawanan hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan peringkat kumpulan C.
Mengulas lanjut, Yusri berkata dengan ketiadaan lima pemain utama itu, TRW dilihat sedikit tempang untuk berdepan JDT yang ketika ini berada di kedudukan keempat peringkat kumpulan sama.
Beliau berkata, pasukannya dijangka menerima tekanan kuat daripada anak-anak buah Benjamin Mora ekoran ketiadaan lima pemain tersebut.
“Sudah tentu JDT akan beraksi dengan pemain terbaik untuk meraih kemenangan dan ia sudah tentu akan memberi kesukaran kepada kami.
“Apapun keadaan, kami perlu lalui perlawanan malam esok walaupun ia amat berat bagi kami terutama ketika berkunjung ke gelanggang lawan,” katanya. - BERNAMA

Ulasan