KEDAH perlu lebih berwaspada dengan ancaman kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijangka bangkit bagi menebus kekalahan pada perlawanan kedua Kumpulan C kempen Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.
JDT selaku juara bertahan tewas mengejut kepada pasukan Liga Premier, MISC-MIFA 1-2 pada perlawanan pertama kumpulan di Larkin Ahad lalu.
Penolong Jurulatih Kedah, Azzmi Aziz berkata, skuad Helang Merah perlu berhati-hati dengan kebangkitan pasukan lawan yang sudah pasti mahu memburu kemenangan pada perlawanan tersebut.
“Saya nampak kekalahan itu mampu membangkitkan semula semangat mereka untuk mencari kemenangan ketika berhadapan dengan Kedah,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Justeru kata beliau, Kedah perlu bekerja lebih keras dengan taktik dan strategi terbaik bagi menyaingi JDT seterusnya membawa pulang tiga mata.
Kata Azzmi, Kedah bagaimanapun berdepan dengan kesukaran untuk menghasilkan gol dalam lima perlawanan terakhir.
“Jadi, kita perlu mencari jalan mencipta banyak peluang untuk menghasilkan gol pada perlawanan itu,” ujarnya.
Kedah sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 menentang Kelantan pada perlawanan pertama Kumpulan C di Alor Setar pada Ahad lalu.
Ulasan
Catat Ulasan