PENYERANG Kedah Sandro Da Silva berjaya melepasi asakan pemain JDT dan menjaringkan gol pertama tuan rumah pada Perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.- BERNAMA
KUALA LUMPUR 31 Ogos - Kedah mencerahkan peluang untuk mengintai tempat ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 dalam aksi kelima peringkat Kumpulan C di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Turun dengan misi mengutip tiga mata di stadium keramat itu, Lang Merah membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi gol penyerang dari Brazil, Sandro da Silva namun pasukan pelawat kembali menyamakan kedudukan hasil ledakan Fernando Marquez minit ke-36.
Bersambung babak kedua, tuan rumah hanya memerlukan dua minit untuk kembali mendahului juara bertahan Piala Malaysia itu menerusi jaringan Akhyar Rashid.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Harimau Selatan dilihat melancarkan serangan bertali arus ke kubu pasukan Kedah namun gagal menghasilkan gol.
Lebih malang, JDT terpaksa bermain 10 pemain selepas Marcos Antonio dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari penjaga gol tuan rumah, Abdul Hadi Hamid ketika perlawanan masih berbaki 10 minit babak kedua.
Kesempatan itu dimanfaatkan oleh pasukan tuan rumah untuk menambah jumlah jaringan menerusi serangan balas pantas ketika keseluruhan pemain JDT di kawasan lawan, Liridon Krasniqi yang ketika itu menerima rawatan di luar padang telah dibenarkan masuk oleh pengadil perlawanan memanfaatkan peluang terhidang dengan melakukan rembatan cantik bagi jaringan ketiga Kedah.
Kemenangan itu menyaksikan Kedah mengumpul lapan mata untuk menerajui Kumpulan C selepas satu yang perlawanan menyaksikan MISC-MIFA seri 0-0 dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. -UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan